Pemindahan sel stem untuk strok iskemik

Soalan ulasan

Adakah pemindahan sel stem selamat and lebih berkesan berbanding rawatan konvensional dalam meningkatkan pemulihan selepas strok iskemik?

Latar belakang

Strok merupakan punca utama kematian dan kehilangan upaya di seluruh dunia, dengan kos yang tinggi untuk penjagaan kesihatan dan sosial. Terapi yang ada, yang disasarkan untuk memulihkan kelenturan saluran darah, terdiri daripada trombolisis intravena (pemecahan darah beku yang terbentuk dalam saluran darah, menggunakan ubatan) dan trombektomi mekanikal endovaskular (pembuangan darah beku secara pembedahan), diberikan dalam beberapa jam dari permulaan strok, hanya untuk beberapa pesakit terpilih. Kajian awal tentang pemindahan sel stem (menyuntik sel yang mampu menyelamatkan atau menggantikan tisu-tisu saraf yang rosak) mungkin selamat dan berkesan untuk strok iskemik. Walau bagaimanapun, maklumat berkenaan dengan manusia masih kurang. Ulasan ini mengemaskini Ulasan Cochrane yang terdahulu tentang topik ini (Boncoraglio 2010).

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan kajian-kajian rawak yang melibatkan dewasa yang mempunyai strok iskemik, pada bila-bila masa selepas permulaan strok. Kami memasukkan apa-apa jenis sel stem atau cara pemberian.

Keputusan-keputusan utama

Kami mengenal pasti tujuh kajian rawak, yang melibatkan 401 peserta. Secara keseluruhan, pemindahan sel stem dikaitkan dengan penurunan gangguan neurologi, tetapi tidak dengan hasil fungsi yang lebih baik. Tidak ada masalah keselamatan yang ditimbulkan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti berkisar dari rendah hingga sangat rendah kerana risiko berat sebelah dalam kajian yang dimasukkan, kekurangan ketepatan hasil, dan reka bentuk yang berbeza. Lebih banyak kajian-kajian terkawal rawak yang direka dengan baik adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information