Soalan ulasan: Kami mengulas bukti yang sedia ada atas kesan trakeostomi awal (≤ 10 hari selepas intubasi trakeal) berbanding dengan trakeostomi lewat (>10 hari selepas intubasi trakeal) dari segi kematian dalam pesakit sakit tenat yang dijangka akan menggunakan pernafasan tiruan jangka panjang.
Latar belakang: Trakeostomi merupakan prosedur pembedahan di mana pembukaan luaran tiruan dilakukan di trakea (salur pernafasan). Ventilasi mekanikal jangka panjang (di mana satu mesin digunakan untuk membantu pernafasan secara mekanikal) adalah situasi paling biasa di mana trakeostomi menjadi indikasi untuk pesakit di unit rawatan rapi (ICU). Trakeostomi ‘awal’ dan ‘lewat’ boleh dilakukan.
Ciri-ciri kajian: Bukti ini adalah terkini hingga Ogos 2013. Kami memasukkan lapan kajian dengan jumlah 1977 pesakit yang dibahagikan kepada sama ada trakeostomi awal atau lewat. Empat kajian menerima pembiayaan daripada institusi berbeza yang tidak mengambil bahagian dalam kajian atau dalam menyediakan kandungan untuk terbitan terakhir. Kami telah menjalankan pencarian semula pada Oktober 2014. Kami akan menilai sebarang kajian yang menarik perhatian kami apabila ulasan ini dikemaskini semula.
Keputusan utama: Pesakit yang menerima trakeostomi awal mempunyai risiko kematian yang lebih rendah pada rawatan susulan paling panjang yang sedia ada dalam tujuh kajian yang mengukur kematian (dari 28 hari sehingga dua tahun rawatan susulan), berbanding dengan pesakit dengan trakeostomi lewat. Walaubagaimanapun, bukti yang sedia ada patut dipertimbangkan dengan berhati-hati sebab maklumat adalah tidak mencukupi mengenai sebarang subkumpulan atau ciri-ciri individu yang berpotensi untuk dikaitkan dengan indikasi terbaik untuk trakeostomi awal atau lewat. Berdasarkan hasil yang sedia ada, lebih kurang 11 pesakit perlu dirawat dengan trakeostomi awal dan bukannya trakeostomi lewat untuk mengelakkan satu kematian. Keputusan mengenai tempoh masa dengan ventilasi mekanikal adalah tidak muktamad, tetapi terdapat keputusan yang mencadangkan manfaat dengan trakeostomi awal. Dua kajian menunjukkan bahawa kemungkinan discaj dari ICU pada 28 hari rawatan susulan adalah lebih tinggi dalam kumpulan trakeostomi dan tiada perbezaan signifikan untuk radang paru-paru. Perbezaan yang mungkin wujud antara trakeostomi awal dan lewat masih belum disiasat dengan cukup dalam kajian berkualiti tinggi kerana tiada maklumat yang sedia ada dalam indikasi terbaik untuk sama ada trakeostomi awal atau lewat dalam pesakit dengan ciri-ciri spesifik.
Kualiti bukti: Kualiti bukti berbeza mengikut hasil kajian yang dianalisa. Bukti dianggap berkualiti sederhana untuk kematian dan tempoh masa penggunaan ventilasi mekanikal; berkualiti tinggi untuk discaj dari ICU pada hari ke-28; berkualiti sangat rendah dan rendah untuk radang paru-paru dan jangkitan luka sternal. Kepelbagaian klinikal dan metodologi antara kajian merupakan faktor utama atas penurunan gred kualiti bukti yang sedia ada.
Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com