Palsi Bell adalah kelemahan satu sisi muka yang didiagnosis setelah punca kelemahan muka yang lain telah diketepikan. Ia adalah 'diagnosis pengecualian'. Palsi Bell mungkin disebabkan oleh virus yang mempengaruhi saraf muka. Rawatan piawai termasuk steroid untuk membantu menyelesaikan bengkak saraf muka, sedangkan rawatan antiviral tidak dilihat dapat membantu. Dalam terapi oksigen hiperbarik, orang yang menjalani rawatan bernafas 100% oksigen dalam ruang bertekanan selama kira-kira satu jam (dipanggil 'selam'). Ini boleh menghasilkan lebih banyak oksigen terlarut dalam saraf muka dan mungkin mengurangkan kerosakan saraf dalam palsi Bell. Kami mencari bukti dari kajian rawak terkawal tentang terapi oksigen hiperbarik dalam kalangan dewasa dengan palsi Bell yang sederhana hingga teruk. Carian kami menunjukkan tiada kajian yang memenuhi kriteria kemasukan untuk ulasan ini. Kami mendapati bukti berkualiti sangat rendah dari satu kajian yang mencadangkan terapi oksigen hiperbarik mungkin bermanfaat untuk palsi Bell yang sederhana hingga teruk. Kajian melibatkan 79 peserta dan membandingkan terapi oksigen hiperbarik kepada prednisone, satu kortikosteroid, yang merupakan rawatan aktif yang terbukti. Para peserta tidak tahu rawatan manakah yang diberi kepada mereka. Mereka yang dirawat dengan oksigen hiperbarik pulih lebih cepat dan mendapat pergerakan muka normal dengan lebih kerap (95% berbanding 76%). Semua peserta menerima baik rawatan, dan tiada komplikasi major. Kualiti bukti dari kajian ini adalah sangat rendah kerana penilai fungsi muka menyedari tentang rawatan yang diberi kepada peserta, dan ini memperkenalkan risiko bias yang tinggi. Oleh itu, tiada bukti berkualiti tinggi untuk membuat kesimpulan tentang keberkesanan terapi oksigen hiperbarik dalam palsi Bell.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.