Intervensi-intervensi pemutusan bersama atau penjagaan seperti biasa: yang manakah lebih berkesan untuk pesakit yang mempunyai masalah kesihatan mental?
Apakah masalah kesihatan mental?
Terdapat banyak jenis masalah kesihatan mental. Ia biasanya dicirikan oleh gabungan pemikiran, persepsi, emosi, tingkah laku dan hubungan dengan orang lain yang tidak normal. Akses kepada penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial yang mampu menyediakan rawatan dan sokongan sosial adalah kunci untuk menghadapinya.
Apa yang kami ingin ketahui?
Pemutusan bersama (shared decision-making) ialah pendekatan komunikasi pengguna-profesional di mana kedua-dua pihak (contohnya pesakit atau penjaga mereka, atau kedua-duanya, bersama dengan doktor mereka) diperakui untuk membawa pengalaman dan kepakaran yang sama pentingnya kepada proses tersebut. Dalam pendekatan ini, kedua-dua pihak bekerjasama untuk membuat cadangan dan keputusan rawatan.
Pendekatan ini dianggap sebagai sebahagian daripada pemulihan yang lebih luas dan pergerakan untuk berpusatkan orang dalam bidang kesihatan tingkah laku. Tumpuan kepada pemulihan dan tanggungjawab individu untuk memahami dan mengurus gejala dengan kerjasama profesional, penjaga, rakan sebaya dan ahli keluarga juga merupakan asas kepada pendekatan ini.
Kadangkala ia juga melibatkan 'decision aid', seperti video, buku kecil atau alatan dalam talian, untuk menyampaikan maklumat tentang rawatan, faedah dan risiko pilihan yang berbeza, dan mengenal pasti cara untuk membuat keputusan yang mencerminkan perkara yang paling penting kepada seseorang. Proses pemutusan bersama selalunya juga melibatkan bimbingan keputusan (decision coaching) oleh seseorang yang tidak direktif (non-directive) dan memberikan sokongan keputusan yang bertujuan untuk menyediakan seseorang untuk perbincangan dan keputusan dalam pertemuan dengan pengamal mereka.
Kami ingin mengetahui sama ada intervensi yang dibuat melalui pemutusan bersama adalah lebih baik daripada penjagaan seperti biasa untuk pesakit masalah kesihatan mental untuk menambah baik:
• hasil klinikal, seperti simptom psikotik, depresi, cemas, dan kemasukan semula ke hospital;
• penyertaan atau tahap penglibatan dalam proses membuat keputusan.
Kami juga ingin mengetahui sama ada intervensi-intervensi pemutusan bersama dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini (memudaratkan).
Apa yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang mengkaji intervensi-intervensi pemutusan bermasa berbanding dengan penjagaan seperti biasa pada pesakit masalah kesihatan mental. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menjumpai 15 kajian yang melibatkan 3141 orang dewasa, dari tujuh negara: Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Belanda, UK dan Amerika Syarikat.
Persekitaran penjagaan termasuk penjagaan primer, perkhidmatan kesihatan mental komuniti, perkhidmatan psikiatri pesakit luar, perkhidmatan pesakit luar khusus seperti klinik gangguan tekanan selepas trauma, perkhidmatan psikiatri forensik dan wad rumah jagaan.
Keadaan kesihatan mental yang dikaji ialah skizofrenia, depresi, gangguan bipolar, gangguan tekanan pasca trauma, demensia, gangguan penggunaan bahan dan pelbagai keadaan-keadaan klinikal, termasuk gangguan personaliti. Penyedia penjagaan termasuk penjaga keluarga, doktor, pengurus kes, jururawat, ahli farmasi dan penyokong rakan sebaya. Tiga kajian melibatkan kerjasama antara profesional.
Apabila pesakit masalah kesihatan mental menerima intervensi-intervensi pemutusan bersama, kita tidak pasti sama ada keadaan klinikal mereka berubah. Mereka mungkin merasakan bahawa mereka mengambil bahagian lebih dalam proses membuat keputusan berbanding dengan mereka yang menerima penjagaan biasa, walaupun kami tidak pasti tentang perkara ini apabila penyertaan diukur dengan cara lain atau pada titik masa kemudian selepas perundingan.
Pesakit yang mengambil pendekatan ini mungkin memperbaikan beberapa, tetapi bukan semua, aspek kepuasan mereka terhadap maklumat yang diterima berbanding dengan mereka yang menerima penjagaan biasa.
Walaupun sering dicadangkan bahawa pemutusan bersama mengambil masa yang panjang, kami menjumpai bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan berbanding dengan penjagaan biasa dalam tempoh perundingan.
Kami tidak pasti sama ada intervensi-intervensi pemutusan bersama mengubah hasil seperti pemulihan, kepuasan penjaga, kepuasan profesional penjagaan kesihatan, pengetahuan, penerusan rawatan/ubat, penyertaan penjaga, hubungan dengan profesional penjagaan kesihatan, tempoh tinggal di hospital atau kemungkinan kesan berbahaya.
Penyelidikan lanjutan diperlukan dalam bidang ini. Susulan jangka panjang juga diperlukan untuk menentukan dengan lebih baik impak perkongsian keputusan terhadap: persepsi kualiti hidup; kesan ke atas kekerapan dan keterukan krisis, kemasukan ke hospital, atau kedua-duanya; kestabilan fungsi utama kehidupan, kerja, perumahan dan kesihatan keseluruhan; dan kepuasan dalam membuat keputusan.
Ulasan ini adalah terkini sehingga April 2020.
Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my