Mesej-mesej utama
- Kawalan gula darah secara intensif mengurangkan gula darah ke paras yang lebih rendah, yang boleh meningkatkan risiko 'hypoglycaemia' (paras gula darah rendah di bawah tahap yang sihat).
- Kawalan intensif tidak akan mengurangkan kematian. Selain itu, ia mungkin tidak akan mengurangkan risiko jangkitan atau masalah buah pinggang, atau masa di hospital atau unit rawatan rapi. Namun demikian, kawalan intensif boleh mengurangkan risiko masalah kardiovaskular.
- Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk memahami kesan intervensi ini dalam pelbagai jenis pembedahan.
Apa yang sudah diketahui?
Tempoh perioperatif adalah tempoh masa prosedur pembedahan seorang individu, yang melibatkan kemasukan wad, bius dan pemulihan selepas pembedahan, meliputi fasa praoperasi (sebelum pembedahan), intraoperatif (semasa operasi) dan selepas pembedahan (selepas pembedahan). Orang yang menghidap diabetes mellitus adalah lebih berisiko mendapat komplikasi selepas pembedahan berbanding dengan populasi umum. Diabetes adalah faktor risiko yang terkenal untuk komplikasi selepas pembedahan, menyebabkan lebih lama tinggal di hospital, penggunaan sumber penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dan lebih banyak kematian. Salah satu komplikasi perubatan yang paling penting ialah peningkatan risiko jangkitan dalam tempoh sekitar prosedur pembedahan. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada sasaran kawalan glukosa darah yang lebih intensif (kawalan glisemik) semasa tempoh perioperatif adalah lebih baik daripada sasaran glukosa darah konvensional untuk mengurangkan risiko pembedahan di kalangan pesakit diabetes mellitus.
Apakah yang kami ingin tahu?
Keputusan ulasan sebelum ini adalah tidak jelas tentang cara mengendalikan kawalan glukosa darah semasa pembedahan di kalangan pesakit diabetes mellitus. Oleh itu, kami telah melakukan kemaskini untuk mendapatkan bukti saintifik terkini yang sedia ada mengenai pengurusan glukosa di kalangan orang yang menjalani pembedahan.
Apa yang kami temui?
Kami mengenal pasti lapan kajian baharu yang menambah kepada 12 sebelumnya yang disertakan dalam ulasan sebelum ini, jadi sejumlah 20 ujian kini dimasukkan dalam ulasan ini. Semua kajian menilai kawalan intensif gula darah. Kami memasukkan 1320 peserta dengan diabetes secara rawak kepada kawalan glukosa intensif perioperatif dan 1350 peserta dengan diabetes secara rawak kepada kawalan glukosa konvensional atau biasa dalam analisis kami. Kajian telah dijalankan di semua benua. Purata tempoh intervensi berbeza dari semasa pembedahan sehingga lima hari. Purata umur peserta ialah 63 tahun.
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Walaupun paras gula darah yang lebih rendah semasa tempoh perioperatif, kawalan glukosa intensif mungkin tidak mengakibatkan banyak penurunan atau tidak mengakibatkan penurunan sama sekali dalam hasil pascapembedahan yang berkaitan seperti risiko jangkitan, masalah buah pinggang, dan tempoh penginapan di hospital dan unit rawatan intensif. Begitu juga dengan kawalan glisemik intensif yang menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian semua sebab.
Berbanding dengan kawalan glukosa konvensional, kawalan glukosa intensif boleh mengurangkan risiko masalah kardiovaskular.
Kawalan glukosa intensif boleh meningkatkan sedikit risiko kejadian hipoglisemia, termasuk yang serius.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap keputusan untuk kematian, tetapi keyakinan kami terhadap keputusan yang lain adalah rendah atau sangat rendah. Ini adalah kerana batasan dalam kajian, dan keputusan yang tidak tepat dan tidak konsisten.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat 25 Mei 2022
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (IMU University). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).