Keselamatan krim/sapuan steroid topikal semasa hamil

Soalan ulasan

Adakah steroid topikal (krim atau gel steroid) selamat digunakan semasa hamil?

Latar belakang

Steroid topikal adalah ubat yang paling kerap digunakan untuk masalah kulit. Wanita hamil mungkin memerlukan steroid topikal untuk merawat masalah kulit, tetapi adalah tidak jelas sama ada ianya selamat atau berbahaya digunakan semasa mengandung. Kami menyasarkan untuk mengkaji keselamatan steroid topikal semasa hamil.

Ciri-ciri kajian

Kami mengemas kini ulasan yang pernah diterbitkan sebelum ini pada 2009. Kami meneliti penyelidikan yang telah diterbitkan setakat Julai 2015 dan menemui tujuh kajian baru. Secara keseluruhannya, ulasan yang dikemas kini ini menyertakan sejumlah 14 kajian pemerhatian yang menilai 1,601,515 kehamilan. Kajian pemerhatian secara amnya dianggap kurang ketat daripada kajian klinikal rawak terkawal. Sumber pembiayaan adalah dari institusi akademik atau kerajaan untuk 10 kajian manakala 4 kajian tidak melaporkannya.

Keputusan utama

Kami mendapati tiada kaitan antara penggunaan steroid topikal dalam pelbagai kekuatan oleh ibu-ibu dengan kaedah kelahiran, kelahiran cacat, kelahiran pramatang, atau skor Apgar yang rendah.

Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan kaitan antara berat lahir yang rendah dengan penggunaan steroid topikal yang kuat atau sangat kuat oleh ibu, terutamanya apabila dos yang tinggi digunakan semasa kehamilan, dan perkara ini memerlukan lebih banyak penyelidikan. Namun, penggunaan kortikosteroid topikal yang ringan atau sederhana oleh ibu tidak berkait dengan berat lahir yang rendah. Kami juga mendapati bahawa steroid topikal yang rendah atau sederhana dapat melindungi daripada kematian bayi, tetapi ini tidak berlaku apabila ibu menggunakan steroid topikal yang kuat atau sangat kuat. Penemuan ini memerlukan penelitian lanjut.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah kerana semua kajian yang ada merupakan jenis pemerhatian sahaja. Rekaan kajian berkualiti tinggi seperti kajian rawak terkawal yang memperuntukkan peserta kajian untuk menerima sama ada kortikosteroid topikal atau tiada rawatan secara umumnya tidak sesuai dijalankan di kalangan wanita hamil disebabkan oleh isu etika bahawa kemungkinan janin terdedah kepada rawatan kajian.

Kami kemudiannya menurunkan kualiti bukti kepada 'sangat rendah', ini kerana kami telah mengesan variasi dalam keputusan daripada kajian-kajian yang kami temui, yang bermakna kami mempunyai keyakinan yang rendah dalam penilaian terhadap kesan hasil yang kami temui.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information