Soalan ulasan
Bolehkah tempoh pemerhatian, rawatan dengan bahan yang ditelan, atau rawatan dengan bahan yang diberi melalui darah membantu untuk mengeluarkan makanan lembut yang tersekat di antara tekak dan perut bagi mengelakkan keperluan untuk prosedur endoskopi untuk mengeluarkannya?
Latar belakang
Makanan kadang kala boleh tersekat di dalam esofagus, paip yang menghubungkan tekak ke perut yang melalui dada. Makanan ini sering tertanggal dengan sendirinya, tanpa sebarang bantuan perubatan, tetapi kadang kala bantuan doktor adalah diperlukan untuk mengeluarkannya. Pembuangan atau pengeluaran gumpalan makanan ini boleh dilakukan dengan menggunakan kamera yang fleksibel atau alat yang tegar, dipanggil endoskop, tetapi prosedur endoskopi boleh mempunyai komplikasi serius, seperti menyebabkan lubang di dalam esofagus. Walau bagaimanapun, menunggu terlalu lama untuk makanan dikeluarkan dengan sendirinya juga boleh meningkatkan risiko lubang di dalam esofagus dan mungkin menyebabkan air liur atau makanan terjatuh ke dalam paru-paru, menyebabkan jangkitan serius. Pelbagai rawatan pada masa ini digunakan untuk cuba mengeluarkan makanan, tanpa menggunakan endoskopi, kebanyakannya juga mempunyai potensi untuk kesan-kesan sampingan, termasuk kesukaran bernafas, meningkatkan tahap gula darah, merendahkan tekanan darah, dan degupan jantung yang tidak teratur. Kami ingin mengetahui jika sebarang rawatan ini lebih baik daripada hanya menunggu untuk makanan dikeluarkan dengan sendirinya, sebelum cuba untuk mengeluarkannya dengan alatan.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2019. Kami menemui satu kajian yang sesuai untuk menjawab soalan kami, yang membandingkan memberi pesakit dua ubat ke dalam vena (diazepam dan glukagon) dengan plasebo (cecair jernih yang kelihatan serupa dengan ubat-ubat tersebut tetapi tidak mempunyai kesan terhadap tubuh badan). Kami tidak melihat kepada merawat objek tajam atau keras, kerana objek-objek ini dirawat secara berbeza.
Keputusan utama
Tiada bukti yang mencukupi untuk mengatakan dengan yakin rawatan yang mana untuk makanan yang terimpak di dalam esofagus selamat atau berkesan.
Kualiti bukti
Kami menilai keseluruhan kepastian bukti sebagai rendah. Lebih banyak kajian dengan lebih banyak peserta adalah diperlukan bagi membolehkan menjawab soalan ulasan ini.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my