Intervensi untuk merawat kesakitan pada puting payudara dalam kalangan wanita yang menyusukan susu ibu

Latar belakang

Walaupun manfaat kesihatan penyusuan susu ibu adalah mantap, ramai wanita menghentikan penyusuan susu ibu dalam tempoh beberapa minggu pertama selepas kelahiran. Satu sebab biasa untuk menghentikan penyusuan susu ibu ialah kesakitan pada puting payudara.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data kajian Kumpulan Kehamilan dan Kelahiran Cochrane pada bulan September 2014 untuk kajian klinikal yang menilai kaedah (intervensi) untuk memperbaiki kesakitan pada puting payudara dalam kalangan wanita yang sedang menyusu susu ibu. Kami juga melihat penyembuhan dan jangkitan pada puting payudara, tempoh penyusuan susu ibu, sama ada bayi hanya menerima susu ibu, dan sama ada ibu gembira dengan rawatan untuk masalah pada puting payudara dan penyususuan susu ibu secara amnya. Intervensi termasuk rawatan ubat (yang diberi melalui mulut untuk menentang bakteria , semburan, salap; terhadap jangkitan kulat), rawatan tanpa ubat (lanolin, Jel petroleum, minyak peppermint, gliserin), pencucian luka, perlindungan pada puting payudara (perisai atau cangkerang payudara), rawatan cahaya atau menyapu perahan susu ibu. Intervensi dibandingkan dengan satu sama lain atau penjagaan biasa (kawalan).

Keputusan-keputusan utama

Kami menemui empat kajian baik yang berkualiti dari segi metodologi yang melibatkan 656 wanita, yang menilai lima intervensi yang berbeza termasuk pad gliserin, lanolin dengan cengkerang payudara, lanolin sahaja, perahan susu ibu, dan salap puting yang serbaguna. Semua kajian melibatkan pendidikan ke atas posisi betul bayi pada payudara sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan untuk kedua-dua kumpulan intervensi dan kawalan.

Pada masa ini, tiada bukti mencukupi untuk mengesyorkan apa-apa jenis rawatan untuk kesakitan pada puting payudara dalam kalangan wanita yang menyusukan susu ibu. Keputusan ini mencadangkan bahawa tidak menggunakan apa-apa atau menyapu perahan susu ibu mungkin sama atau lebih bermanfaat dalam perasaan sakit jangka pendek pada puting daripada penggunaan salap seperti lanolin. Satu penemuan penting dalam ulasan ini adalah tanpa mengira rawatan yang digunakan, bagi kebanyakan wanita, kesakitan pada puting payudara berkurangan kepada tahap sederhana kira-kira tujuh hingga 10 hari selepas melahirkan (selepas bersalin).

Kualiti bukti

Kualiti bukti ulasan ini tidak membenarkan kesimpulan yang kukuh mengenai merawat kesakitan pada puting payudara. Kami menemui hanya empat kajian kecil dan semua empat kajian membandingkan intervensi-intervensi yang berbeza, peserta-peserta, hasil yang diukur dan piawaian penjagaan biasa. Walaupun kualiti metodologi kajian-kajian termasuk adalah baik, kualiti bukti keseluruhan bagi hasil utama iaitu kesakitan pada puting payudara adalah rendah, terutamanya disebabkan kajian tunggal dengan hanya beberapa peserta yang menyumbang data untuk analisis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nila@pmu.edu.my.

Tools
Information