Apakah faedah dan kemudaratan rejimen magnesium sulfat yang berbeza bagi wanita dengan pra-eklampsia dan eklampsia?

Mesej utama

Magnesium sulfat sebelum ini telah terbukti berkesan dalam merawat dan mencegah eklampsia (sawan yang berlaku semasa atau selepas bayi dilahirkan apabila wanita yang mempunyai tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing).

Magnesium sulfat mungkin membawa kesan yang tidak diingini pada wanita atau bayi (cth masalah pernafasan).

Ia masih tidak jelas apakah dos terbaik dan cara terbaik untuk memberikannya.

Apakah pra-eklampsia dan eklampsia?

Pra-eklampsia (atau toksemia) adalah keadaan yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah (hipertensi) dan protein dalam air kencing. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa semasa separuh kedua kehamilan atau dalam beberapa minggu selepas bersalin. Akibat pra-eklampsia yang teruk termasuk sawan ibu (eklampsia), masalah dengan hati dan buah pinggang ibu, kematian bayi, dan gangguan plasenta (pemisahan plasenta dari dinding rahim sebelum kelahiran bayi).

Mengapa ini penting untuk wanita yang mengalami pra-eklampsia dan eklampsia?

Magnesium sulfat efektif dalam mencegah eklampsia pada wanita yang mengalami pra-eklampsia dan dalam merawat wanita yang mengalami sawan eklampsia untuk mengelakkan penyakit ibu/bayi yang teruk dan kematian. Tetapi, magnesium sulfat boleh membawa kesan yang tidak diingini (kesukaran bernafas; pengurangan jumlah air kencing, yang boleh merosakkan buah pinggang) dalam dos yang tinggi dan mungkin perlu diberikan oleh kakitangan yang berpengalaman.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada satu cara untuk memberi magnesium sulfat (jumlah ubat; bagaimana dan di mana untuk memberi ubat, contohnya di punggung, paha, dalam urat; dan tempoh pemberian) adalah lebih baik daripada yang lain.

Apakah yang kami buat?

Kami telah mencari kajian yang melihat kepada cara pemberian magnesium sulfat yang berbeza (jumlah ubat, kaedah yang digunakan untuk memberikan ubat, dan tempoh pemberian). Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami telah mencari kajian-kajian sehingga April 2022. Kami telah menyertakan 16 kajian (3020 wanita): empat kajian (409 wanita) memasukkan wanita dengan eklampsia, dan 12 kajian (2611 wanita) memasukkan wanita dengan pra-eklampsia. Kajian kebanyakannya dijalankan di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Untuk wanita dengan eklampsia: kami tidak yakin dengan bukti yang membandingkan pemberian dos yang lebih rendah atau rejimen magnesium sulfat yang lebih pendek berbanding rejimen standard kerana saiz kajian terlalu kecil untuk menunjukkan sebarang perbezaan, dan ada kemungkinan bahawa orang yang terlibat menyedari rawatan yang mereka perolehi, dan ini boleh membawa bias. Pemberian magnesium sulfat dalam masa yang lebih singkat daripada 24 jam biasa boleh mengurangkan risiko pembilasan (muka merah); namun, kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap keputusan ini kerana kajian itu terlalu kecil.

Untuk wanita dengan pra-eklampsia: kami tidak pasti sama ada pemberian magnesium sulfat dalam masa yang lebih singkat daripada biasa atau dalam dos yang lebih rendah membuat sebarang perbezaan kepada risiko wanita tersebut mengalami sawan, penyakit teruk atau kesan yang tidak diingini kerana kajiannya terlalu kecil. Kami juga tidak yakin bahawa cara pemberian ubat tersebut menghasilkan apa-apa faedah atau kemudaratan kerana saiz kajian itu terlalu kecil untuk menunjukkan sebarang perbezaan, dan ada kemungkinan orang yang terlibat sedar tentang rawatan yang mereka terima.

Apakah batasan bukti?

Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, orang dalam kebanyakan kajian sedar tentang rawatan yang mereka terima, yang boleh membawa kepada bias; bagaimanapun, ini akan menjadi sangat sukar untuk dicegah dalam kajian akan datang kerana ciri-ciri intervensi. Kedua, beberapa kajian memberikan sangat sedikit maklumat tentang bagaimana ia dilakukan. Akhirnya, beberapa kajian mempunyai saiz sangat kecil. Ada kemungkinan keputusan penyelidikan lanjutan boleh berbeza daripada keputusan ulasan ini.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 29 April 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information