Ubat-ubatan melegakan sakit opioid intramuskular dan intravena semasa bersalin

Apakah isunya?

Kami ingin tentukan keberkesanan, kesan-kesan sampingan dan kebolehterimaan wanita kepada pelbagai opioid (ubat tahan sakit), dos yang diguna serta cara pemberiannya semasa bersalin. Kami juga prihatin tentang kesan opioid kepada bayi dari segi keselamatan, kecerdasan semasa lahir dan penyusuan awal.

Kontraksi rahim menyebabkan sakit semasa bersalin, terutamanya ketika mencapai puncaknya. Sakit berkurang sambil pengecutan berhenti dan rahim mengendur. Dalam proses persalinan, kontraksi rahim menjadi lebih kuat, lebih kerap dan lebih panjang; pada masa yang sama ia menjadi lebih sakit. Kontraksi rahim paling kuat dan paling kerap biasanya berlaku pada akhir peringkat pertama persalinan ketika serviks mencapai dilatasi sepenuhnya. Ibu kemudiannya merasa terdesak untuk mendorong atau menahan, yang membantu kelahiran bayi. Keterukan sakit berbeza dari wanita ke wanita, dan dipengaruhi oleh faktor mental dan emosi. Sebagai contoh, sokongan berterusan semasa bersalin dapat membantu wanita mengatasi sakit dan membantu kepuasan keseluruhan dengan pengalaman melahirkan.

Mengapakah hal ini penting?

Di kebanyakan unit maternal, suntikan ubat opioid intramuskular meluas diguna untuk melegakan sakit semasa bersalin. Pilihan untuk pemberian intravena, yang sering dikendali oleh wanita, mungkin juga disediakan. Suntikan opioid boleh menyebabkan wanita mengantuk dan mengganggu kemampuan untuk membuat keputusan tentang penjagaan mereka. Mereka juga mungkin mengalami loya dan muntah. Opioid meningkatkan variasi kadar jantung janin semasa bersalin dan menekan pernafasan. Terdapat pelbagai ubat opioid yang sedia ada. Peningkatan penggunaan analgesia epidural di negara kaya sumber bermakna opioid kurang menjadi ubat pilihan dalam persekitaran ini. Namun di kebanyakkan tempat di dunia dan dalam persekitaran perbidanan analgesia epidural tidak tersedia, suntikan opioid masih meluas diguna. Opioid agak murah. Adalah tidak jelas keberkesanan ubat-ubatan ini, opioid mana paling baik, dan bagaimana kesan buruk (seperti muntah atau mengantuk) atau mudarat kepada wanita atau bayi dapat dielakkan. Ulasan ini adalah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2010.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari kajian-kajian pada 11 Mei 2017. Kami menyertakan 70 kajian walaupun hanya 61 kajian yang melibatkan lebih 8000 wanita menyumbang data dalam ulasan ini. Semua kajian dilakukan di hospital, terhadap wanita sihat dengan kehamilan yang tidak rumit pada 37 hingga 42 minggu gestasi. Kajian-kajian membandingkan satu opioid (intramuskular atau intravena) dengan plasebo (rawatan tanpa ubat aktif), tanpa rawatan, opioid lain (atau dalam tiga kajian ubat lain atau sedutan nitrus oksida) atau rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS) dalam 34 perbandingan yang berbeza. Terdapat kurang peluang untuk mengumpul penemuan kajian, dan untuk kebanyakan hasil hanya satu kajian yang menyumbang penemuan-penemuan. Kebanyakan kualiti bukti dinilai rendah atau sangat rendah untuk hasil sakit semasa bersalin dan kepuasan dengan analgesia. Kebanyakan kajian menyertakan bilangan wanita yang tidak mencukupi untuk mengesan perbezaan antara kumpulan.

Apakah maksudnya?

Secara keseluruhan, penemuan kami menunjukkan opioid memberi sedikit kelegaan sakit semasa bersalin, walaupun sebahagian besar wanita masih melaporkan sakit tahap sederhana atau teruk. Ubat-ubatan opioid dikaitkan dengan loya, muntah dan mengantuk, dengan pelbagai jenis opioid menyebabkan kesan sampingan yang berbeza. Kami tiada cukup bukti untuk menilai ubat opioid terbaik melegakan sakit dengan kesan buruk yang paling kurang. Kami juga tidak menemui bukti jelas tentang kesan buruk opioid kepada bayi baru lahir. Kepuasan ibu dengan analgesia opioid dilihat sederhana walaupun sering tidak dilapor atau dilapor dengan cara yang berbeza. Kami tiada cukup bukti untuk menilai ubat opioid yang paling memuaskan wanita.

Dalam ulasan ini, kami tidak mengkaji keberkesanan dan keselamatan opioid intramuskular atau intravena berbanding kaedah lain untuk melegakan sakit semasa bersalin seperti analgesia epidural. Ulasan ini perlu dinilai bersama ulasan Cochrane yang berkaitan. Oleh kerana suntikan ubat opioid diguna secara meluas, adalah penting untuk membuat lebih penyelidikan agar wanita dapat membuat pilihan tepat tentang kelegaan sakit.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information