Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) topikal untuk kesakitan otot kronik di kalangan orang dewasa

Kesimpulan

Diclofenac topikal dan ketoprofen topikal boleh memberikan kesan yang baik dalam melegakan kesakitan di kalangan pesakit osteoartritis, tetapi hanya kira-kira 10% orang mendapat keputusan ini berbanding dengan plasebo topikal. Tiada bukti untuk kesakitan kronik yang lain.

Latar belakang

Kesakitan otot kronik berlaku pada keadaan seperti osteoartritis. Kesakitan ini biasanya pada tahap sederhana atau teruk intensiti, yang berlaku selama tiga bulan atau lebih.

Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) topikal dalam bentuk gel, krim, semburan, atau plaster disapukan pada kulit tanpa luka di mana ia menyakitkan. NSAID topikal menembusi kulit, memasuki tisu atau sendi, dan mengurangkan proses yang menyebabkan kesakitan pada tisu. Tahap ubat dalam darah dengan NSAID topikal adalah jauh lebih rendah berbanding dengan ubat yang sama jika diambil melalui mulut. Ini akan mengurangkan risiko pada kesan yang berbahaya.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah satu pengemaskinian daripada 'NSAID topikal untuk kesakitan otot kronik di kalangan orang dewasa' yang asalnya diterbitkan pada tahun 2012. Kami mendapati secara umumnya, terdapat 39 kajian yang berkualiti tinggi dengan 10,857 peserta di mana NSAID topikal digunakan sekurang-kurangnya sekali sehari. Kajian-kajian ini menguji beberapa ubat topikal yang berbeza, kebanyakannya berbanding dengan plasebo topikal. Kami berminat pada peserta yang mempunyai tahap pengurangan kesakitan yang baik (kira-kira separuh) idealnya pada tempoh 6 hingga 12 minggu selepas rawatan bermula. Kajian yang mengambil masa yang lebih lama adalah lebih mewakili dunia sebenar, kerana dalam kesakitan kronik kesakitan ini hampir tidak akan hilang jika tidak dirawat. Kami melihat NSAIDs individu untuk melihat keberkesanan mereka.

Hasil-hasil utama

Diclofenac dan ketoprofen sahaja yang mempunyai kajian yang berkualiti dan melibatkan tempoh masa yang lebih lama, kebanyakannya pada orang yang berusia lebih daripada 40 tahun dengan kesakitan artritis lutut. Perbandingan adalah di antara kumpulan diclofenac atau ketoprofen topikal dalam bentuk larutan atau gel, dan kumpulan larutan atau gel tanpa apa-apa ubat di dalamnya (plasebo topikal). 6 daripada 10 orang dengan osteoartritis dalam kumpulan diclodenac dan ketoprofen dapat melegakan kesakitan selepas tujuh hari menggunakannya, berbanding dengan 5 daripada 10 orang pada kumpulan plasebo (kualiti data sederhana).

Reaksi kulit (kebanyakannya ringan) adalah lebih biasa (20 daripada 100) berlaku dengan diclofenac topikal berbanding dengan plasebo topikal (5 daripada 100); tiada perbezaan antara ketoprofen topikal dan plasebo topikal (kualiti bukti yang sederhana) Kesan buruk yang lain, seperti sakit perut, kurang dilaporkan dalam kajian ini, tetapi tiada perbezaan diantara diclofenac topikal atau ketoprofen dan plasebo topikal (kualiti bukti yang sangat rendah). Kesan buruk yang serius adalah jarang.

Kualiti bukti kajian

Kami telah menilai kualiti bukti untuk diclofenac topikal dan ketoprofen topikal berbanding dengan plasebo sebagai sederhana dari segi keberkesanan, dan sangat rendah dari segi kesan berbahaya. Kualiti bukti yang sederhana bermakna penyelidikan lanjutan mungkin mengubah anggaran kami mengenai kesannya, dan kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kami tidak pasti mengenai ketepatan anggaran kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh MW Chan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information