Granuloma sel raksasa tengah (CGCG) pada rahang adalah tumor benigna mandibel (rahang bawah) dan maksila (rahang atas) yang jarang ditemui. Ia bercirikan kerosakan tulang, gangguan simetri muka dan sesaran gigi serta germa gigi; terutama dalam kalangan pesakit muda.Jenis-jenis tumor yang agresif biasanya tumbuh dengan cepat dan mengembang, menyebabkan sakit, gigi-gigi boleh tersesar atau menjadi longgar. Perawatan CGCG termasuklah pembedahan konvensional beserta atau tanpa rawatan adjuntif atau reseksi in-bloc untuk variasi tumor yang agresif. Walaupun terapi paling lazim adalah kuretaj surgikal; kadar penyakit berulang yang tinggi, terutama tumor yang agresif telah meningkatkan kerisauan dan mendorong kepada kajian untuk opsyen rawatan lain.Tinjauan ini membuat perbandingan antara intervensi primer bukan surgikal dengan intervensi primer surgikal atau rawatan-rawatan lain. Walaupun beberapa terapi telah dicadangkan untuk merawat granuloma sel raksasa tengah pada rahang ini, ulasan kami mendapati tidak ada bukti daripada kajian rawak terkawal untuk menyokong penggunaannya. Tinjauan kami mendapati hanya satu kajian yang membandingkan rawatan calcitonin dengan plasebo. Tiada perbezaan signifikan yang ditemui pada perkadaran pesakit yang mempunyai peningkatan isipadu 10% saiz tumor pada 3 bulan susulan berbanding dengan ukuran pra-rawatan di antara kedua-dua kumpulan rawatan itu.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my