Latar belakang
Antara semua kanser ginekologi, kanser ovari mempunyai kadar kematian tertinggi dan kanser ovari epitelium menyumbang sekitar 90% daripada semua kes. Pembedahan dan enam pusingan kemoterapi berasaskan platinum adalah rawatan standard dan 75% wanita mungkin tidak menunjukkan bukti penyakit pada akhir rawatan ini. Walau bagaimanapun, 75% daripada wanita yang respon terhadap rawatan awal akan relaps dalam masa 18 sehingga 28 bulan dan hanya 20% hingga 40% daripada semua wanita akan bertahan melebihi lima tahun. Sesetengah doktor mencadangkan kemoterapi pengekalan untuk kanser ovari epitelium. Kemoterapi pengekalan merujuk kepada kemoterapi yang diberi kepada wanita yang telah mencapai remisi setelah pembedahan awal dan kemoterapi induksi. Tujuan kemoterapi pengekalan adalah untuk memanjangkan durasi remisi dan memperbaik tempoh survival keseluruhan. Beberapa kajian menunjukkan kemoterapi pengekalan mampu memperbaik masa tanpa progresi kanser, sementara yang lain tidak menunjukkan sebarang kesan.
Matlamat ulasan
Matlamat ulasan ini adalah untuk menganggar sama ada penggunaan kemoterapi pengekalan adalah lebih baik daripada pemerhatian sahaja bagi wanita dengan kanser ovari epitelium.
Apakah penemuan utama?
Kami mengenal pasti lapan kajian yang mengguna pelbagai jenis kemoterapi (misalnya agen platinum, doxorubicin, topotecan atau paclitaxel) tetapi tiada cukup bukti untuk membuktikan ubat mana lebih baik berbanding pemerhatian sahaja. Pertimbangan yang penting bagi wanita dengan penyakit lanjut adalah keseimbangan antara manfaat rawatan dan mudarat atau kesan buruk yang mungkin akibat rawatan-rawatan tersebut. Tiada cukup data untuk komen tentang impak keseluruhan kemoterapi pengekalan terhadap manfaat klinikal dari perspektif wanita.
Kualiti bukti
Kami cuba mengenal pasti semua kajian dan kedua-dua data yang diterbitkan dan yang tidak diterbitkan dalam ulasan ini; untuk mengurangkan pengaruh bias penerbitan. Kajian-kajian yang disertakan digred berkualiti sederhana tetapi meta-analisis ini memberi penilaian yang boleh percaya tentang purata kesan rawatan platinum dan doxorubicin dalam kalangan wanita dengan kanser ovari epitelium.
Apakah kesimpulannya?
Penggunaan ejen platinum, doxorubicin atau paclitaxel sebagai kemoterapi pengekalan tidak terbukti berkesan untuk memanjangkan jangka hayat wanita dengan kanser ovari epitelium. Penyelidikan lanjutan kesan paclitaxel yang diguna sebagai kemoterapi pengekalan diperlukan.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Univerisiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my