Kortikosteroid untuk jangkitan toksoplasma mata

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika menggunakan ubat-ubatan (kortikosteroid) untuk mengurangkan bengkak (keradangan) bersama rawatan standard toksoplasmosis mata dapat mempercepatkan kelegaan simptom dan penglihatan lebih baik, berbanding rawatan standard sahaja. Para penyelidik Cochrane telah mencari semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati tiada kajian.

Mesej-mesej utama
Buat masa ini tiada bukti yang menyokong atau menentang penggunaan kortikosteroid, sebagai tambahan kepada rawatan standard, untuk mempercepatkan pemulihan dan mencegah kehilangan penglihatan dalam kalangan orang dengan toksoplasmosis mata.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Toksoplasmosis adalah jangkitan yang disebabkan oleh parasit bernama Toxoplasma gondii. Orang boleh mendapat toksoplasmosis dengan memakan daging yang telah tidak dimasak dengan betul, atau dengan memakan makanan atau air minuman yang tercemar dengan najis, khususnya najis kucing. Toksoplasmosis boleh menjejaskan bahagian badan yang berlainan, termasuk mata. Tidak semua orang yang dijangkiti toksoplasma akan mendapat gejala pada mata. Walau bagaimanapun, sesetengah orang boleh dipengaruhi dengan teruk, dan boleh hilang penglihatan dengan teruk.

Orang dengan jangkitan toksoplasma sering mengambil ubat-ubatan antiparasit atau antibiotik yang membunuh parasit tersebut. Mereka juga boleh menggunakan kortikosteroid untuk mengurangkan bengkak di mata (keradangan). Menggunakan kortikosteroid boleh melegakan simptom lebih cepat dan penglihatan yang lebih baik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Para penyelidik Cochrane mencari pelbagai pangkalan data elektronik untuk kajian yang menambahkan kortikosteroid kepada rawatan standard untuk toksoplasmosis mata. Mereka tidak mendapati kajian yang relevan.

Orang yang dipengaruhi oleh toksoplasma, dan para doktor dan jururawat yang merawat mereka, memerlukan bukti sama ada pengambilan kortikosteroid untuk toksoplasmosis mata adalah berguna. Mereka memerlukan maklumat lanjut mengenai berapa banyak yang perlu ambil, untuk berapa lama, dan bila untuk mula diambil bersama-sama dengan rawatan standard. Kajian masa depan perlu mengumpul maklumat mengenai hasil yang relevan kepada orang-orang yang dipengaruhi oleh keadaan ini, seperti masa yang diambil untuk pulih daripada tanda-tanda dan simptom kehilangan penglihatan.

Adakah ulasan ini terkini?
Para penyelidik Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 7 Disember 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Nooliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information