Faktor pertumbuhan endothelial anti-vaskular (ubat anti-VEGF) untuk edema makular diabetes

Apakah tujuan ulasan ini?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jenis ubat anti faktor pertumbuhan endothelial vaskular (anti-VEGF) terbaik untuk edema makula diabetes (DMO) dua tahun selepas rawatan dimulakan.

Mesej utama
Mungkin tiada perbezaan klinikal penting dalam hasil visual antara ubat anti-VEGF pada dua tahun dalam kalangan orang dengan DMO, walaupun kami mendapati perbezaan dalam kesan ubat pada ketebalan retina. Tiada bukti bahawa sebarang ubat meningkatkan risiko kematian atau kejadian kardiovaskular utama berbanding dengan kawalan.

Apakah edema makula diabetes?
Tisu sensitif cahaya di bahagian belakang mata dikenali sebagai retina. Kawasan pusat retina dipanggil makula. Orang yang menghidap diabetes boleh mengalami masalah di retina, yang dikenali sebagai retinopati. Sesetengah orang dengan retinopati diabetik juga boleh mengalami edema (pembengkakan atau penebalan) di makula. DMO adalah komplikasi diabetik retinopati yang kerap dan boleh membawa kepada kehilangan penglihatan.

Bagaimanakah edema makula diabetes dirawat?
Satu jenis rawatan untuk DMO adalah anti-VEGF. Ubat jenis ini diberikan melalui suntikan ke dalam mata. Ia boleh mengurangkan bengkak di belakang mata dan mencegah kehilangan penglihatan. Ubat-ubatan ini mungkin mempunyai kesan yang tidak diingini, terutamanya berkaitan dengan saluran darah di seluruh badan.

Apakah yang ingin kami ketahui?
Versi ulasan sebelumnya ini mendapati perbezaan kecil dalam kesan antara ubat anti-VEGF pada satu tahun, yang mungkin tidak signifikan secara klinikal. Dalam kemas kini ini, kami menyiasat jika wujud sebarang perbezaan dalam keberkesanan dan keselamatan selepas dua tahun.

Apa yang kami buat?
Kami sertakan semua kajian yang membandingkan ubat anti-VEGF antara satu sama lain atau dengan data kawalan dan ringkasan pada dua tahun.

Apakah yang telah kami dapati?
Kami mendapati 23 kajian yang berkaitan. Tiga belas adalah kajian yang ditaja oleh industri dari AS, Eropah atau Asia. Sepuluh kajian tidak menerima pembiayaan industri dan berasal dari AS, Eropah, Timur Tengah, dan Amerika Selatan.

Terdapat keputusan pada dua tahun untuk ubat ranibizumab, bevacizumab, aflibercept, dan brolucizumab. Satu kajian menyiasat conbercept, tetapi ubat ini hanya diluluskan di China. Keputusan hanya tersedia pada satu tahun untuk ubat baru faricimab. Ubat anti-VEGF ini dibandingkan dengan tiada rawatan, rawatan sham, rawatan laser, atau satu sama lain. Orang yang mengambil bahagian dalam kajian menerima ubat setiap bulan untuk tiga hingga enam bulan pertama, kemudian kurang kerap. Keputusan mengenai rawatan jangka panjang adalah berdasarkan ketajaman penglihatan atau dengan melihat bahagian belakang mata.

Kami mendapati bahawa semua ubat anti-VEGF menghalang kehilangan penglihatan dan boleh menambahbaik penglihatan pada penghidap DMO, tanpa perbezaan penting dalam penglihatan pada dua tahun antara aflibercept, bevacizumab, brolucizumab, dan ranibizumab, walaupun aflibercept dan brolucizumab menghasilkan kawalan pembengkakan retina yang lebih baik berbanding ubat lain.

Tiada bukti bahawa ubat-ubatan ini meningkatkan risiko kematian atau kejadian kardiovaskular, tetapi kualiti bukti ini adalah lemah.

Apakah batasan bukti tersebut ?
Beberapa kajian memberikan data membandingkan ubat anti-VEGF pada dua tahun, dan anggaran selalunya tidak tepat.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 6 Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information