Penghalang selektif beta-1 untuk rawatan tekanan darah tinggi

Latarbelakang

Penghalang selektif beta-1 adalah subklass penghalang beta (beta blockers) yang biasa digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Ubat dalam kelas ini termasuk atenolol (Tenormin), metoprolol (Lopressor), Nebivolol (Bystolic) dan Bisoprolol (Zebeta, Monocor). Kami telah membentuk satu kaedah yang komprehensif untuk mengkaji bagaimana dos dan ubat-ubatan yang berbeza di dalam kelas ini menurunkan tekanan darah.

Ciri-ciri kajian yang termasuk

Kami mendapati dan memasukkan 56 kajian klinikal yang memeriksa kesan pengurangkan tekanan darah daripada lapan jenis penghalang beta-1 dalam 7812 orang dengan tekanan darah tinggi. Peserta-peserta dipisahkan secara rawak untuk menerima rawatan dos tetap penghalang beta-1 atau plasebo selama 3 hingga 12 minggu.

Keputusan utama

Secara purata,penghalang beta-1 menurunkan tekanan darah sebanyak -10 titik sistolik dan - 8 titik diastolik di kalangan orang dengan tekanan darah ringan hingga sederhana tinggi. Secara umum, dos tinggi penghalang beta-1 tidak menunjukkan pengurangan yang lebih besar pada tekanan darah apabila dibandingkan dengan dos rendah. Pengurangan tekanan darah maksimum telah ditunjukkan apabila dos permulaan yang disyorkan digandakan.

Dos tinggi penghalang beta-1 menurunkan kadar jantung lebih daripada dos yang lebih rendah, maka lebih cenderung untuk menyebabkan kesan sampingan yang biasa iaitu kadar jantung yang perlahan. Penghalang selektif beta-1 merendahkan tekanan darah sistolik dan diastolik pada tahap yang sama, seperti penghalang beta subkelas lain, dan dengan itu mempunyai sedikit atau tiada kesan pada tekanan nadi. Ini berbeza daripada ubat antihipertensi kelas-kelas lain seperti diuretik thiazide, perencat penukar enzim angiotensin dan penghalang reseptor angiotensin.

Bukti kualiti

Kualiti bukti dinilai rendah kerana pelbagai jenis bias yang boleh membesar-besarkan kesan. Bukti berkualiti rendah bermakna kajian masa depan berkemungkinan akan mempunyai kesan penting pada keyakinan kita dalam menganggarkan kesan dan ini mungkin mengubah anggaran.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.

Tools
Information