Adakah regangan berkesan untuk merawat dan mencegah kecacatan sendi?

Soalan ulasan: kami telah mengulas bukti tentang kesan regangan pada orang yang pernah mengalami atau terdedah pada kecacatan sendi.

Latar belakang: kami ingin mengetahui keberkesanan intervensi regangan untuk rawatan dan pencegahan kecacatan sendi (juga dikenali sebagai kejang) pada orang yang mengalami keadaan neurologi dan bukan neurologi. Beberapa keadaan dalam ulasan ini termasuklah pesakit dengan patah tulang, strok, kecederaan otak, artritis atau melecur.

Regangan boleh dilakukan dengan splint dan program penentududukan, atau dengan cast, yang ditukar pada selang masa yang tetap (cast bersiri). Sebagai alternatif, regangan boleh dilakukan sendiri atau diberikan secara manual oleh ahli terapi.

Ciri kajian: ulasan Cochrane ini adalah terkini hingga November 2015. Ia menyertakan keputusan untuk 49 kajian rawak terkawal yang melibatkan 2135 peserta. Para peserta mempunyai keadaan neurologi dan bukan neurologi yang bervariasi termasuk strok, kecederaan otak dan saraf tunjang yang diperolehi, artritis, patah pergelangan tangan dan melecur.

Kajian membandingkan regangan dengan tanpa regangan, selalunya disampaikan dengan penjagaan standard untuk gangguan atau intervensi lain seperti senaman atau suntikan toksin botulinum dalam kes spastik.

Regangan telah dilakukan dalam pelbagai cara yang berbeza termasuk melalui regangan pasif (dilakukan sendiri, dibantu oleh ahli terapi dan dibantu oleh peranti), penentududukan, penggunaan splint, dan cast bersiri.

Dos regangan sangat pelbagai, antara lima minit hingga 24 jam sehari (median 420 minit, IQR 38 hingga 600) untuk antara dua hari dan tujuh bulan (median 35 hari, IQR 23 hingga 84). Jumlah masa kumulatif untuk regangan yang dilakukan adalah antara 23 minit hingga 1456 jam (median 168 jam, IQR 24 hingga 672).

Hasil yang diminati ialah julat pergerakan sendi, spastik, kesakitan, keupayaan untuk bergerak, keupayaan untuk mengambil bahagian dalam kehidupan, kualiti hidup dan kejadian buruk. Kesan jangka pendek (kurang daripada satu minggu) dan jangka panjang (lebih daripada satu minggu) telah disiasat secara berasingan.

Sumber pembiayaan kajian: tiada kajian dibiayai oleh pengeluar ubat atau oleh agensi yang mempunyai kepentingan komersial dalam hasil kajian.

Keputusan utama: kami mendapati kesan jangka pendek berikut setelah satu minggu selepas intervensi regangan terakhir dalam kajian yang dapat membandingkan kesan regangan dengan tanpa regangan:

Pergerakan Sendi (skor tinggi adalah lebih baik)

Keadaan neurologi: regangan meningkatkan pergerakan sendi sebanyak 1% (0% hingga 2% lebih baik) atau 2 ° (0 ° hingga 3 ° )

Keadaan bukan neurologi: regangan memperbaiki pergerakan sendi sebanyak 1% (0% hingga 3% lebih baik)

Kualiti hidup (skor tinggi adalah hasil yang lebih baik)

Keadaan neurologi: tiada kajian

Keadaan bukan neurologi: regangan memperbaiki kualiti hidup sebanyak 1% (0% hingga 3% lebih baik)

Kesakitan (skor rendah adalah lebih baik)

Keadaan neurologi: regangan meningkatkan kesakitan sebanyak 2% (1% hingga 6% lebih teruk)

Keadaan bukan neurologi: regangan mengurangkan kesakitan sebanyak 1% (3% lebih baik hingga 1% lebih teruk)

Had pergerakan (skor tinggi adalah lebih baik)

Keadaan neurologi: regangan memperbaiki kebolehan untuk bergerak sebanyak 1% (0% hingga 2% lebih baik)

Keadaan bukan neurologi: regangan memperbaiki kebolehan untuk bergerak sebanyak 1% (2% lebih teruk hingga 4% lebih baik)

Penglibatan (skor tinggi adalah lebih baik)

Keadaan neurologi: tiada kajian

Keadaan bukan neurologi: regangan mengurangkan penglibatan dalam aktiviti kehidupan sebanyak 12% (31% lebih teruk kepada 6% lebih baik)

Kejadian buruk

Keadaan neurologi dan bukan neurologi: 49 kesan sampingan buruk dilaporkan, termasuklah kerosakan kulit, kesakitan, rasa kebas, trombosis vena, jangkitan luka, hematoma, kekurangan lenturan dan bengkak. Kami tidak dapat mengira risiko kejadian tersebut kerana kesan-kesan buruk tidak dilaporkan dalam semua kajian, atau tidak dilaporkan untuk kedua-dua kumpulan rawatan dan kawalan.

Kualiti bukti: terdapat bukti berkualiti tinggi bahawa regangan tidak mempunyai kesan jangka pendek yang penting secara klinikal pada mobiliti sendi pada orang yang mempunyai keadaan neurologi atau bukan neurologi. Terdapat bukti berkualiti tinggi bahawa regangan tidak mempunyai kesan jangka pendek yang penting secara klinikal terhadap kesakitan, dan bukti berkualiti sederhana bahawa regangan tidak mempunyai kesan jangka pendek yang penting secara klinikal terhadap kualiti hidup pada orang yang mempunyai keadaan bukan neurologi.

Kesimpulan: regangan tidak berkesan untuk rawatan dan pencegahan kejang dan tidak mempunyai kesan jangka pendek pada kualiti hidup dan kesakitan pada orang yang mempunyai keadaan bukan neurologi. Kesan jangka pendek dan jangka panjang regangan pada hasil lain bagi orang yang mempunyai keadaan neurologi dan bukan neurologi adalah tidak diketahui.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nur Shaheera Jausus. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information