Operasi pembedahan untuk palsi Bell (paralisis muka idiopatik)

Soalan ulasan

Apakah kesan pembedahan awal dalam pengurusan palsi Bell berbanding tanpa rawatan, pembedahan yang dilakukan selepas tiga bulan, jenis-jenis pembedahan lain, rawatan palsu (tiruan) atau rawatan dengan ubat-ubatan?

Latar belakang

Palsi Bell adalah paralisis otot muka, sering pada satu sisi, yang tidak diketahui puncanya (idiopatik). Gejala-gejala mungkin berlaku apabila saraf di muka terperangkap dan membengkak. Orang dengan palsi Bell umumnya pulih, seringkali dengan bantuan ubat steriod tetapi terdapat sekumpulan kecil yang tidak pulih. Sesetengah pakar bedah berpendapat pembedahan segera (dalam tiga bulan dari permulaan paralisis) untuk membebaskan saraf dapat memperbaik pemulihan.

Ciri-ciri kajian

Para penulis ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisis kajian-kajian untuk menjawab soalan ulasan ini. Kami menemui dua kajian untuk disertakan dalam ulasan kami, yang melibatkan 65 orang dengan palsi Bell. Ukuran utama kesan-kesan pembedahan adalah pemulihan sepenuhnya paralisis pada 12 bulan. Kajian pertama membandingkan pembedahan dengan tanpa rawatan dan kajian kedua membandingkan pembedahan awal dengan pembedahan lewat dan tanpa rawatan. Kedua-dua kajian tidak melaporkan konflik kepentingan. Satu kajian tidak memberi maklumat pembiayaan, yang satu lagi melaporkan program sains nasional dan serantau dengan pembiayaan universiti.

Keputusan utama dan kebolehpercayaan bukti

Bukti tentang kesan pembedahan awal untuk palsi Bell adalah sangat rendah kebolehpercayaannya kerana kajian adalah kecil dengan batasan yang sangat serius. Kami tidak dapat menyatakan sama ada pemulihan lebih baik atau lebih teruk selepas pembedahan awal (sebelum tiga bulan) berbanding tanpa rawatan, atau selepas pembedahan awal berbanding dengan pembedahan lewat.

Satu kajian melaporkan kesan sampingan atau komplikasi pembedahan. Kebolehpercayaan bukti adalah sangat rendah. Empat peserta yang menjalani pembedahan mengalami hilang pendengaran, dan tiga mengalami tinitus (berdering dalam telinga). Kumpulan pembedahan menunjukkan sedikit kehilangan kawalan penghasilan air mata di mata.

Kami punyai bukti yang terlalu sedikit untuk memutuskan sama ada pembedahan akan membantu atau berbahaya bagi orang yang mengalami palsi Bell awal. Tidak mungkin ada penyelidikan lanjut peranan pembedahan kerana palsi Bell sering pulih tanpa rawatan.

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information