Latar belakang
Talasemia adalah anemia keturunan yang disebabkan oleh kecacatan dalam pengeluaran hemoglobin. Pemindahan sel darah merah yang kerap diperlukan, terutamanya untuk bentuk penyakit yang teruk, iaitu talasemia utama. Ini menyebabkan beban besi terlampau. Disebabkan tubuh manusia tidak mempunyai cara-cara untuk menyingkirkan besi berlebihan secara aktif, rawatan ubat-ubatan (ubat chelating besi) diperlukan. Beberapa tahun yang lalu, chelator besi oral yang baru, deferasirox, telah diperkenalkan.
Soalan ulasan
Adakah deferasirox menawarkan kelebihan berbanding plasebo atau chelator besi lain, deferoxamine atau deferiprone pada orang yang mengalami talasemia berkaitan dengan keberkesanan dan keselamatan?
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga 12 Ogos 2016. Ulasan ini yang dikemaskini merangkumi 16 kajian terkawal rawak (1807 peserta) yang mengandungi 20 perbandingan deferasirox dengan rawatan lain.
Dalam penghidap talasemia yang bergantung kepada transfusi, dua kajian membanding deferasirox dengan plasebo dan sembilan kajian (1251 peserta) membanding deferasirox dengan rawatan deferoxamine standard. Empat kajian (205 peserta) membanding deferasirox dengan deferiprone. Satu kajian membanding deferasirox dan deferiprone masing-masing kepada gabungan terapi deferasirox dan deferiprone (40 peserta), gabungan terapi deferasirox dan deferoxamine kepda deferoxamine (94 peserta) dan gabungan terapi deferasirox dan deferiprone kepada gabungan terapi deferiprone dan deferoxamine (96 peserta).
Satu kajian membandingkan deferasirox dengan placebo (166 peserta) untuk penghidap talasemia yang tidak bergantung kepada transfusi (individu yang tidak memerlu transfusi darah kerap). Tempoh kajian yang disertakan adalah di antara 12 hari hingga dua tahun
Keputusan utama
Dua kajian yang membandingkan deferasirox dengan plasebo dalam penghidap talasemia yang bergantung kepada transfusi menunjukkan deferasirox berkesan dalam penyingkiran besi. Sembilan kajian lain membanding deferasirox dengan rawatan standard deferoxamine. Keberkesanan yang sama seolah-olah mungkin, bergantung kepada dos ubat yang dibandingkan. Ia perlu disahkan sama ada ini membawa kepada peningkatan dalam hasil penting pesakit dalam jangka panjang. Keselamatan deferasirox boleh diterima; akan tetapi, peristiwa-peristiwa negatif yang jarang atau kesan sampingan jangka panjang tidak secukupnya disiasat disebabkan bilangan peserta yang terhad dan tempoh kajian yang pendek. Kepuasan pesakit jauh lebih baik dengan deferasirox di kalangan mereka yang sebelum ini dirawat dengan deferoxamine. Kadar penghentian adalah sama bagi kedua-dua ubat-ubatan. Deferasirox boleh dijadikan alternatif untuk individu-individu yang tidak tahan, atau tidak mempunyai pematuhan dengan deferoxamine. Bagi orang yang mempunyai pilihan yang kuat untuk deferasirox, faedah dan risiko yang berpotensi perlu dibincangkan.
Satu kajian (41 peserta) melaporkan bahawa lebih ramai individu dengan talasemia yang bergantung kepada transfusi mengalami sakit sendi apabila dirawat dengan deferiprone berbanding dengan deferasirox, tetapi disebabkan pelbagai jenis peristiwa buruk yang banyak telah dilapor dan dibandingkan, keputusan ini mungkin disebabkan oleh peluang. Satu kajian mendedahkan bahawa pematuhan kepada rawatan adalah lebih tinggi apabila kedua-dua agen pengkelat lisan besi, deferasirox dan deferiprone digunakan berbanding dengan gabungan deferiprone dan deferoxamine, tetapi tiada peserta yang berhenti kajian itu. Kami mendapati tiada bukti untuk apa-apa perbezaan yang membandingkan deferasirox atau deferiprone masing-masing dengan gabungan terapi deferasirox dan deferiprone atau gabungan deferasirox dan deferoxamine dengan deferoxamine sahaja, tetapi bilangan orang-orang dalam kajian ini adalah kecil dan data yang tersedia adalah sangat terhad.
Satu kajian dengan penghidap talasemia yang tidak bergantung kepada transfusi mendapati deferasirox adalah lebih baik dalam mengurangkan ferritin dalam serum dan kepekatan besi dalam hati berbanding dengan plasebo. Akan tetapi, tidak terdapat bukti tentang kesan hasil penting pesakit atau data keselamatan jangka panjang dalam populasi ini.
Kualiti bukti
Kualiti kajian yang membandingkan deferasirox dengan deferoxamine pada penghidap talasemia yang bergantung kepada transfusi adalah sederhana hingga rendah, terutamanya disebabkan bahawa penyiasat dan peserta tahu akan intervensi yang diperuntukkan kepada peserta, terdapat sebilangan kecil peserta-peserta yang dimasukkan ke dalam kajian yang menggunakan penanda pengganti (ukuran yang digunakan sebagai pengganti titik akhir klinikal keras) dan bukannya hasil penting pesakit. Untuk perbandingan deferasirox dengan plasebo dalam penghidap talasemia yang tidak bergantung kepada transfusi, kualiti bukti adalah sederhana hingga rendah berdasarkan hanya satu kajian. Untuk perbandingan lain, kualiti keterangan adalah rendah hingga sangat rendah, disebabkan terutamanya oleh kemasukan peserta yang kurang. Sebaik-baiknya, kajian rawak selanjutnya yang melihat kepada hasil penting pesakit berjangka panjang dan peristiwa-peristiwa buruk yang jarang, perlu dijalankan.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my