Suplemen Vitamin A untuk bayi berumur usia satu hingga enam bulan untuk mencegah kematian dan penyakit.

Latar belakang

Kekurangan vitamin A merupakan masalah kesihatan awam yang signifikan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Pengunaan suplemen vitamin A dalam kalangan kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga lima tahun dapat mengurangkan kematian golongan ini. Ulasan ini memberi tumpuan kepada bayi yang berumur antara satu hingga enam bulan.

Soalan ulasan

Adakah suplemen vitamin A pada bayi berumur satu hingga enam bulan memberi sebarang kesan yang bermanfaat atau berbahaya?

Ciri-ciri kajian

Penulis ulasan ini telah mencari literatur perubatan untuk mengenal pasti kajian berkaitan yang membandingkan kesan suplemen vitamin A berbanding kawalan terhadap kematian, penyakit, dan kesan sampingan pada bayi secara rawak yang berumur satu hingga enam bulan. Literatur ini adalah terkini hingga 5 March 2016. Pencarian telah mengenal pasti 12 kajian yang melibatkan 24,846 bayi. Kebanyakan kajian telah dijalankan dengan baik dan merangkumi kanak-kanak dari Asia, Afrika, dan Amerika Latin.

Keputusan utama

Keputusan kajian tidak dapat memberikan bukti yang menyakinkan bahawa suplemen vitamin A dapat mengurangkan kematian atau penyakit pada bayi berumur satu hingga enam bulan (kualiti bukti: sederhana). Suplemen vitamin A tidak mempunyai kesan berfaedah untuk mengurangkan kematian atau penyakit akibat cirit-birit atau radang paru-paru. Begitu juga, suplemen vitamin A tidak mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai kekurangan vitamin A berdasarkan tahap vitamin A dalam darah mereka (kualiti bukti: sederhana). Bayi yang diberi suplemen vitamin A mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami pembengkakan pada bahagian lembut kepala (dikenali sebagai fontanel menonjol) dan kualiti bukti bagi kesan sampingan ini adalah tinggi. Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini tidak meningkatkan risiko kematian atau kekejangan pada bayi.

Secara ringkasnya, suplemen vitamin A pada bayi berumur satu hingga enam bulan tidak mengurangkan kematian atau penyakit, tetapi ia meningkatkan risiko terjadinya fontanel menonjol.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Kien How (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information