Intervensi untuk mencegah dan mengurangkan penggunaan kekangan fizikal dalam semua tetapan penjagaan jangka panjang

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kekangan fizikal (PR) adalah peranti yang menghalang seseorang menggerakkan badan mereka dengan bebas ke kedudukan pilihan mereka. Contohnya landasan katil, tali pinggang dan meja terpasang, yang menghalang orang daripada bangun dari katil atau kerusi. PR agak biasa digunakan untuk orang tua yang mengalami demensia atau yang tidak dapat berjalan dengan baik semasa mereka dijaga di institusi penjagaan bahkan di rumah mereka sendiri. Sebab utama yang diberikan untuk menggunakan PR adalah untuk cuba mengelakkan terjatuh secara tidak sengaja serta kecederaan yang berkaitan dengan jatuh, atau untuk menghalang orang daripada berjalan ke bilik orang lain atau berjalan-jalan tanpa diperhatikan lalu meletakkan risiko kepada diri mereka atau orang lain.

Penggunaan PR sebagai cara yang berkesan untuk mencegah jatuh atau kecederaan yang berkaitan dengan jatuh adalah dipersoalkan. Malah, dengan membuat orang menghabiskan lebih banyak masa tidak bergerak, PR mungkin memburukkan lagi masalah berjalan dan sebenarnya meningkatkan risiko terjatuh. PR juga boleh meningkatkan perasaan takut, kemarahan dan ketidakselesaan, dan mengurangkan kesejahteraan. Akibat-akibat lain yang tidak diingini termasuk peningkatan risiko ulser tekanan dan inkontinens, serta kecederaan yang berkaitan secara langsung dengan penggunaan PR. Di sesetengah negara, penggunaan PR adalah menyalahi undang-undang dalam kebanyakan keadaan dan garis panduan mengesyorkan penggunaannya harus dikurangkan atau dihentikan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui intervensi yang paling berkesan untuk mencegah atau mengurangkan penggunaan PR untuk orang tua yang menerima penjagaan jangka panjang sama ada di institusi penjagaan atau di rumah. Intervensi untuk mencegah dan mengurangkan penggunaan PR biasanya termasuk pendidikan dan latihan untuk kakitangan kejururawatan dan boleh juga termasuk perubahan kepada polisi dan cara penjagaan dibuat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mengemas kini ulasan yang kali terakhir diterbitkan pada tahun 2011. Kami mencari kajian yang menyelidik intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan atau mencegah penggunaan PR pada orang tua yang menerima penjagaan jangka panjang. Kajian perlu menyertakan kumpulan perbandingan yang terdiri daripada peserta yang tidak mendapat intervensi (kumpulan kawalan). Kami memasukkan sebelas kajian. Kesemuanya dijalankan di kemudahan penjagaan jangka panjang (rumah kediaman dan rumah jagaan). Umur purata orang-orang dalam kajian adalah kira-kira 85 tahun. Dalam kebanyakan kajian, intervensi dibandingkan dengan rawatan biasa walaupun, dalam dua kajian, pengurus rumah jagaan dalam kumpulan kawalan juga menerima beberapa maklumat tambahan tentang PR.

Empat kajian menyelidik intervensi organisasi, yang bertujuan untuk mengubah dasar dan amalan supaya kakitangan kejururawatan kurang menggunakan PR atau lansung tidak menggunakannnya. Bahagian penting dalam intervensi ini adalah melatih 'juara' untuk menyokong kakitangan yang lain dalam mengelakkan penggunaan PR. Enam kajian menguji intervensi yang kurang kompleks yang menawarkan pendidikan terus kepada kakitangan kejururawatan. Satu kajian memberi kakitangan kejururawatan keputusan penilaian risiko jatuh setiap penghuni rumah jagaan.

Apakah yang kami temui?

Hasil utama yang kami perhatikan adalah bilangan orang yang dikekang sekurang-kurangnya sekali semasa dalam tempoh kajian. Kami mendapati intervensi organisasi barangkali menyebabkan pengurangan dalam bilangan orang yang dikekang dan pengurangan yang besar dalam bilangan orang yang dikekang menggunakan tali pinggang. Satu kajian melaporkan sama ada penduduk mengalami sebarang bahaya semasa tempoh kajian dan ia melaporkan tiada kejadian berbahaya. Kami tidak menemui sebarang bukti bahawa intervensi menyebabkan perubahan kepada bilangan orang yang mengalami sekurang-kurangnya satu kejatuhan atau satu kecederaan yang berkaitan dengan jatuh, atau bilangan orang yang diberi ubat untuk mengubah suai tingkah laku. Kajian-kajian ini dijalankan dan dilaporkan dengan baik.

Untuk intervensi pendidikan yang ringkas, kualiti kajian dan sejauh mana ia dilaporkan dengan baik berbeza-beza, dan ini mempengaruhi keyakinan kami terhadap keputusan. Keputusan kajian adalah tidak konsisten, jadi kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesan intervensi jenis ini terhadap penggunaan PR. Tiada satu pun kajian yang melaporkan kejadian berbahaya. Sekali lagi, kami tidak menemui sebarang bukti bahawa intervesi menyebabkan perubahan kepada bilangan orang yang mengalami sekurang-kurangnya satu kejatuhan atau satu kecederaan yang berkaitan dengan jatuh, dan kami tidak dapat memastikan kesannya ke atas preskripsi ubat.

Berdasarkan satu kajian, memaklumkan kakitangan kejururawatan tentang risiko jatuh setiap penghuni rumah jagaan mungkin tidak membawa kepada pengurangan penggunaan PR berbanding kumpulan kawalan.

Apakah kesimpulannya?

Intervensi organisasi yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan PR melalui perubahan dasar dan amalan di rumah jagaan mungkin berkesan untuk mengurangkan bilangan orang yang dikekang secara keseluruhan dan terutamanya dengan tali pinggang. Mengurangkan penggunaan kekangan tidak membawa kepada bertambahnya bilangan orang yang jatuh. Kami tidak pasti sama ada intervensi pendidikan yang ringkas mengurangkan penggunaan PR, dan intervensi yang memberi maklumat tentang risiko jatuh penghuni rumah jagaan mungkin mempunyai kesan yang sedikit atau tiada lansung ke atas penggunaan PR. Semua bukti datang dari kajian di institusi dan ia mungkin tidak terpakai untuk jagaan di rumah persendirian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 4 Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas).Disunting oleh Wan Rosalina Wan Rosli (Management and Science University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information