Pembedahan dibantu komputer untuk pembinaan semula ligamen lutut

Latar belakang

Ligamen cruciate anterior (ACL) dan ligamen cruciate posterior (PCL) adalah ligamen yang terletak di tengah-tengah lutut. Kecederaan ACL adalah perkara biasa dalam sukan seperti bola sepak dan bola keranjang, manakala kecederaan PCL adalah lebih jarang berlaku. Pembedahan untuk membina semula ACL, biasanya dengan tendon, adalah salah satu prosedur ortopedik yang paling kerap dilakukan. Adalah sangat penting untuk melakukan pembedahan ini dengan tepat untuk mendapatkan hasil yang memuaskan dan komputer mungkin boleh membantu dengan ini. Ulasan ini bertujuan untuk mengkaji bukti menggunakan komputer tambahan semasa pembedahan untuk membantu perletakan terowong tulang untuk meletakkan tendon gantian.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian penulisan perubatan komprehensif sehingga 5 Julai 2013 untuk mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dan kajian terkawal separa rawak (cth. peruntukan mengikut nombor rekod hospital atau tarikh kelahiran) membandingkan pembedahan dibantu komputer (CAS) ACL atau PCL dengan teknik pembedahan konvensional yang tidak melibatkan CAS pada orang dewasa.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami menemui lima kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian ini melibatkan 366 peserta, terutamanya wanita (70%), berumur 14 hingga 53 tahun. Kesemua lima kajian melibatkan pembinaan semula ACL.

Kami tidak pasti tentang kebolehpercayaan penemuan kajian kerana pelaporan kaedah kajian yang lemah dan, kadangkala, keputusan. Penilaian kami terhadap kualiti bukti yang tersedia untuk hasil individu adalah daripada kualiti 'sederhana' (yang bermaksud penyelidikan lanjut mungkin mengubah anggaran) kepada kualiti 'sangat rendah' (yang bermaksud kami sangat tidak pasti tentang anggaran).

Kajian memberikan beberapa bukti berkualiti sederhana bahawa tiada perbezaan antara pembedahan dibantu komputer dan pembedahan konvensional untuk fungsi lutut yang dilaporkan oleh pesakit. Terdapat bukti berkualiti rendah tentang tiada perbezaan antara kedua-dua kumpulan dalam skor fungsi yang dilaporkan sendiri dan bukti berkualiti sangat rendah tentang tiada perbezaan dalam skor mengukur tahap aktiviti. Terdapat bukti berkualiti rendah tentang tiada perbezaan antara kedua-dua kumpulan rawatan dalam bilangan orang yang dinilai oleh doktor sebagai mempunyai fungsi lutut yang normal atau hampir normal pada masa susulan akhir. Tiada kejadian buruk selepas pembedahan dilaporkan dalam dua kajian; hasil ini tidak dilaporkan oleh tiga kajian lain. CAS mengambil masa lebih lama untuk dilakukan berbanding pembedahan konvensional (dari 9 hingga 27 minit lebih lama).

Secara keseluruhan, bukti yang ada pada masa ini tidak menunjukkan bahawa CAS dalam pembinaan semula ligamen lutut menambahbaik hasil berbanding dengan pembedahan konvensional.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information