Soalan ulasan
Kami menilai sama ada mengelakkan atau memberhentikan glukokortikosteroid lebih baik atau lebih buruk daripada terus menggunakan glukokortikosteroid untuk imunosupresi selepas pemindahan hati.
Latar belakang
Glukokortikosteroid digunakan untuk mencegah penolakan hati selepas pemindahan dengan menekan sistem imun. Sesetengah pusat menggunakan glukokortikosteroid selama-lamanya selepas pemindahan hati sementara yang lain mengurangkannya secara perlahan-lahan, dan yang lain tidak menggunakan glukokortikosteroid sama sekali. Glukokortikosteroid mempunyai beberapa kesan buruk yang boleh membawa kepada penyakit dan kadangkala kematian dalam pemindahan hati. Kesan-kesan buruk ini termasuk diabetes melitus, tekanan darah tinggi, dan jangkitan.
Dengan perkembangan baru dalam imunosupresi, glukokortikosteroid tidak lagi menjadi ciri imunosupresan utama yang digunakan selepas transplantasi. Penggunaan ubat imunosupresan baru mungkin bermakna glukokortikosteroid tidak lagi diperlukan selepas transplantasi. Daripada membantu mencegah penolakan graf hati ia mungkin menyebabkan kesan buruk. Manfaat mengelakkan glukokortikosteroid atau memberhentikannya seketika masih tidak jelas.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian yang membandingkan mengelakkan glukokortikosteroid atau memberhentikan glukokortikosteroid berterusan. Tujuh belas kajian rawak klinikal dimasukkan, di mana 16 kajian melibatkan 1347 peserta menyediakan data numerik untuk metaanalisis. Kesemua kajian menilai orang dewasa yang telah menerima pemindahan hati. Daripada 16 kajian rawak klinikal yang dimasukkan dalam metaanalisis, 10 kajian menilai pengelakan glukokortikosteroid berbanding mengurangkan glukokortikosteroid (782 peserta) dengan perlahan-lahan dan enam kajian menilai pemberhentian glukokortikosteroid dan pengurangan yang perlahan berbanding dengan pengurangan yang lebih lama atau penggunaan jangka panjang glukokortikosteroid (565 peserta). Hanya lapan kajian yang melaporkan jenis penderma yang digunakan. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2017.
Keputusan utama
Penolakan, penolakan yang teruk, dan kegagalan buah pinggang boleh ditingkatkan dengan mengelakkan atau memberhentikan glukokortikosteroid berbanding meneruskan glukokortikosteroid. Diabetes melitus dan tekanan darah tinggi boleh dikurangkan dengan mengelakkan atau memberhentikan glukokortikosteroid berbanding glukokortikosteroid yang berterusan. Kami tidak mendapati sebarang perbezaan dalam survival pesakit, survival hati, kesan buruk lain, atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.
Kualiti bukti
Kami menilai semua kajian yang disertakan sebagai berisiko bias tinggi, bermaksud ianya boleh membuat lebih anggaran manfaat dan kurang anggaran mudarat dalam mengelakkan atau memberhentikan glukokortikosteroid. Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah.
Kesimpulan
Masih ada ketidakpastian mengenai manfaat dan mudarat mengelakkan atau memberhentikan glukokortikosteroid selepas yransplantasi. Mengelakkan atau memberhentikan glukokortikosteroid mungkin meningkatkan penolakan, penolakan yang teruk, dan kegagalan buah pinggang tetapi mengurangkan diabetes melitus dan tekanan darah tinggi. Kami tidak menemui sebarang manfaat atau mudarat yang jelas untuk mengelak atau memberhentikan glukokortikosteroid. Lebih banyak kajian klinikal rawak diperlukan untuk menilai pengelakan dan pemberhentian glukokortikosteroid bagi pesakit pemindahan hati.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.