Adakah aktiviti fizikal berasaskan sekolah meningkatkan aktiviti fizikal sederhana ke cergas dan memperbaik kecergasan fizikal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja?

Mesej utama

Intervensi berasaskan sekolah mungkin memperbaik tahap kecergasan fizikal tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada impak ke atas indeks jisim tubuh (yang diguna untuk menilai sama ada berat badan berada dalamjulat yang sihat), walaupun kami tidak yakin dengan bukti.

Sangat sedikit kajian yang melaporkan sebarang kesan mudarat .

Pertimbangan yang teliti diperlukan bagi jenis program aktiviti fizikal berasaskan sekolah yang akan dilaksana dan kajian masa depan perlu mengenalpasti intervensi aktiviti fizikal yang terbaik untuk persekitaran sekolah.

Mengapa penting untuk mempromosi aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak?

Dianggarkan sebanyak 5.3 juta kematian di seluruh dunia adalah disebabkan oleh tidak bersenam secukupnya (aktiviti fizikal) dan hal ini adalah faktor risiko utama dalam kebanyakan penyakit kronik dan kanser. Topik ini perlu perhatian kerana telah diketahui aktiviti fizikal di alam kanak-kanak akan mencorakkan pola aktiviti yang sama di alam dewasa. Program-program yang menggalakkan kanak-kanak bersenam di sekolah merupakan satu langkah untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal mereka, tanpa mengambilkira faktor lain seperti tingkah laku ibu bapa dan faktor sosial atau kewangan di awal usia kanak-kanak tersebut.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati 89 kajian yang melihat kesan program-program di sekolah yang memfokus kepada peningkatan aktiviti fizikal, melibatkan 66,752 kanak-kanak dan remaja (antara umur 6 hingga 18 tahun) di seluruh dunia. Tempoh program berbeza-beza, daripada 12 minggu hingga 6 tahun. Tiada dua program aktiviti fizikal berasaskan sekolah yang menggunakan gabungan intervensi yang sama. Kekerapan dan tempoh pelaksanaan program berbeza-beza di antara semua kajian-kajian.

Dalam semua kajian yang disertakan, hanya perubahan yang sangat kecil dicatat dalam bilangan pelajar yang menjalankan aktiviti fizikal atau dalam beberapa minit sehari menjalankan aktiviti fizikal sederhana hingga cergas atau masa sedentari, walaupun program-program ini memperbaik kecergasan fizikal pelajar. Program-program ini didapati ada sedikit atau tiada impak dalam ukuran yang diguna untuk menilai sama ada berat badan berada dalam julat yang sihat. Tidak banyak kajian yang melaporkan sebarang kesan mudarat seperti kecederaan fizikal atau psikologi.

Apakah batasan bukti?

Kami bekeyakinan rendah terhadap bukti kerana kajian-kajian tersebut dilaksana dalam pelbagai cara dan intervensi disampaikan dan dinilai dengan pelbagai cara. Selain itu, orang-orang dalam kajian mungkin telah maklum akan intervensi yang mereka peroleh dan ini kadangkala boleh mempengaruhi hasil yang dilaporkan. Tambahan juga, tidak semua kajian memberi data yang diperlukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2020 (walaupun kami telah membuat carian baharu untuk kajian-kajian pada Februari 2021 dan kajian-kajian tersebut mungkin boleh disertakan dalam senarai kemaskini di masa akan datang dan buat masa ini diletakkan dalam jadual ‘Kajian yang Menanti Pengkelasan).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information