Terapi tingkah laku kognitif dan pendekatan gelombang ketiga untuk keresahan dan gangguan berkaitan dalam orang yang lebih tua

Adakah terapi tingkah laku kognitif (CBT) berfungsi lebih baik daripada pengurusan minimum atau terapi psikologi yang lain untuk dewasa yang lebih tua dengan gangguan keresahan?

Mesej-mesej utama

• Bukti menunjukkan bahawa terapi tingkah laku kognitif (CBT) boleh mengurangkan keparahan keresahan sejurus selepas rawatan dibandingkan dengan pengurusan minimum. Walau bagaimanapun, pengurangan keparahan keresahan mungkin tidak dapat dikekalkan dan, pada enam bulan, mungkin terdapat tiada perbezaan antara rawatan.

• Disebabkan kekurangan bukti, kami tidak tahu sama ada CBT lebih atau kurang efektif daripada rawatan-rawatan psikologi yang lain .

• Kajian yang lebih besar dan direka bentuk dengan baik diperlukan untuk menentukan sama ada orang tua dengan masalah keresahan yang menerima CBT pulih sepenuhnya atau menunjukkan peningkatan dalam gejala.

Apakah terapi tingkah laku kognitif untuk orang dewasa yang lebih tua dengan gangguan keresahan dan mengapa ia adalah penting?

Gangguan keresahan adalah masalah kesihatan mental yang biasa untuk orang dewasa yang lebih tua. Gangguan keresahan adalah dicirikan sebagai ketakutan, kebimbangan dan kegelisahan dalam situasi normal atau semasa aktiviti normal. Orang yang mengalami gangguan keresahan mengalami gejala fizikal seperti jantung berdebar-debar, berpeluh, menggigil, loya, dan kesukaran bernafas. Sebagai keputusannya, orang dengan gangguan keresahan selalunya cuba untuk mengelakkan situasi atau aktiviti di mana mereka mengalami ketakutan yang sangat melampau dan sangat besar. Gangguan keresahan mengganggu kehidupan harian dan fungsi normal.

Gangguan keresahan umum (GAD) digambarkan sebagai kebimbangan yang berlebihan dan kronik tentang isu harian seperti kerja, kewangan, keluarga, kesihatan, dan aktiviti harian yang lain, di mana tiada alasan tertentu untuk dibimbangkan.

Terapi tingkah laku kognitif (CBT) adalah rawatan efektif untuk gangguan keresahan dalam orang dewasa dan boleh juga efektif dalam orang dewasa yang lebih tua. CBT membantu orang dengan keresahan dengan mendedahkan mereka secara beransur-ansur kepada situasi yang mengakibatkan perasaan kebimbangan, dan mengubah corak pemikiran negatif. CBT boleh diberikan dalam kumpulan, atau satu per satu.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada CBT berfungsi lebih baik daripada intervensi yang tidak memberikan rawatan (pengurusan minimum) untuk orang dewasa yang lebih tua (lebih daripada 55 tahun) dengan gangguan keresahan. Kami juga ingin mengetahui sama ada CBT berfungsi lebih baik daripada rawatan psikologi yang lain dalam populasi sama dan meningkatkan kualiti hidup.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari untuk kajian-kajian yang telah membandingkan:

• CBT terhadap pengurusan minimum;

• CBT terhadap rawatan psikologi yang lain .

Kami telah merumuskan keputusan berikut, dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.

Ringkasan keputusan

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui 21 kajian yang melibatkan 1234 orang yang lebih tua (berumur lebih 55 tahun) dengan gangguan keresahan. Kajian yang terbesar telah menyertakan 180 orang dan kajian yang terkecil telah menyertakan sembilan orang. Kajian telah dijalankan di tujuh negara. Sepuluh kajian tertumpu kepada GAD. Kebanyakan kajian membandingkan CBT kepada pengurusan minimum (ditakrifkan sebagai penjagaan standard tanpa rawatan psikologi); hanya dua kajian yang telah membandingkan CBT kepada rawatan psikologi yang lain.

Keputusan-keputusan utama

Kami telah menemui bahawa, membandingkan kepada pengurusan minimum, CBT boleh menghasilkan pengurangan kecil kepada sederhana dalam gejala keresahan dan gejala kedua-dua kebimbangan dan kemurungan selepas rawatan. Walau bagaimanapun, kesan-kesan tersebut mungkin tidak dapat dikekalkan dan, pada bulan keenam, terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara CBT dan pengurusan minimum. Terdapat bukti tidak mencukupi untuk menentukan sama ada CBT menyebabkan orang pulih sepenuhnya atau pengurangan dalam gejala. Juga tiada bukti mencukupi untuk menentukan sama ada CBT berfungsi lebih baik berbanding dengan rawatan psikologi untuk orang dewasa yang lebih tua dengan gangguan keresahan.

Batasan utama bukti

Kami mempunyai keyakinan yang terhad dalam bukti disebabkan oleh kajian-kajian tersebut adalah sangat heterogen dengan pelbagai risiko penilaian bias yang besar, dan terutamanya melibatkan orang dewasa yang lebih tua dengan gangguan keresahan umum. Orang juga sedar rawatan yang mana diterima oleh mereka. Pengetahuan ini boleh juga mempengaruhi keputusan-keputusan tersebut. Hanya dua kajian telah mengkaji CBT dibandingkan kepada rawatan psikologi yang lain. Kajian-kajian tersebut tidak menghasilkan bukti mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan.

Bukti ini terkini sehingga 12 Februari 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information