Pentoxifylline untuk wanita dengan endometriosis

Soalan ulasan

Kami mengkaji keberkesanan dan keselamatan merawat wanita dengan endometriosis yang diketahui dengan pentoxifylline untuk mengetahui sama ada ianya dapat membaikpulih gejala kesakitan dan hasil kesuburan. Pentoxifylline adalah imunomodulator (bahan yang mempunyai kesan pada sistem imun) yang mungkin menawarkan pendekatan alternatif untuk merawat keadaan ini. Kami bertujuan untuk membandingkan pentoxifylline dengan tiada rawatan atau plasebo (rawatan palsu), rawatan perubatan lain, atau rawatan pembedahan.

Latar belakang

Endometriosis adalah keadaan yang menyakitkan yang mana tisu seperti endometrium (tisu yang serupa dengan lapisan rahim) tumbuh di luar rahim, yang mungkin mempengaruhi kemampuan wanita untuk hamil. Kajian terbaru menyokong pengaruh sistem imun terhadap penyakit ini. Pentoxifylline adalah ubat imunomodulator yang juga mempunyai aktiviti anti-inflamasi (mengurangkan keradangan), yang mungkin dapat melegakan gejala penyakit tanpa mencegah ovulasi.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 5 kajian rawak terkawal (kajian yang mana peserta ditugaskan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan pentoxifylline dengan plasebo atau tanpa rawatan atau rawatan perubatan lain, dalam jumlah keseluruhan 415 wanita. Bukti adalah terkini hingga 16 Disember 2020.

Keputusan utama

Tidak ada bukti yang mencukupi untuk membenarkan kesimpulan apa pun mengenai keberkesanan dan keselamatan pentoxifylline dari segi hasil kesuburan dan penghilang rasa sakit pada wanita dengan endometriosis. Tidak ada kajian yang dilaporkan mengenai hasil utama kadar kelahiran hidup atau kejadian buruk (kesan sampingan).

Pentoxifylline berbanding plasebo

Kami tidak pasti sama ada pentoxifylline mempengaruhi kadar kehamilan klinikal, kadar berulang endometriosis, atau kadar keguguran apabila dibandingkan dengan plasebo. Data mengenai hasil lain adalah kurang.

Pentoxifylline berbanding tiada rawatan

Kami tidak pasti sama ada pentoxifylline mempengaruhi kesakitan keseluruhan berbanding tanpa rawatan. Data mengenai hasil lain adalah kurang.

Kami tidak dapat mengekstrak data dari sebarang kajian yang membandingkan pentoxifylline dengan terapi perubatan lain, dan tidak ada kajian yang membandingkan pentoxifylline dengan rawatan pembedahan.

Kualiti bukti

Keseluruhan kualiti bukti adalah sangat rendah. Batasan utama dalam bukti tersebut adalah kekurangan analisis niat-untuk-merawat (penilaian semua orang yang mengambil bahagian dalam kajian, berdasarkan kumpulan yang pada awalnya mereka telah (dan secara rawak) diperuntukkan, tidak kira sama ada mereka menarik diri atau tidak, mematuhi sepenuhnya rawatan tersebut, atau beralih ke rawatan alternatif); kurang pembutaan (proses yang mana kedua-dua kumpulan wanita yang mengambil bahagian dalam kajian dan kakitangan penyelidikan tidak menyedari rawatan yang digunakan); dan ketidaktepatan (ralat rawak dan saiz kecil dari beberapa kajian).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information