Soalan ulasan
Apakah faedah dan mudarat pembedahan ultra-radikal (ekstensif) berbanding pembedahan standard dalam rawatan kanser ovari?
Latar belakang
Ovari adalah kelenjar kecil yang terdapat pada kedua-dua belah rahim yang menghasilkan dan menyimpan telur, serta menghasilkan hormon yang mengawal kitaran haid (period). Kanser ovari adalah punca utama kematian dalam kalangan wanita dengan kanser sistem pembiakan. Terdapat pendapat berbeza tentang sama ada wanita dengan kanser ovari peringkat lanjut mempunyai peluang yang lebih baik jika mereka menjalani pembedahan ‘ultra-radikal’, yang jauh lebih ekstensif daripada pembedahan standard, untuk membuang tumor. Pembedahan standard untuk penyakit peringkat lanjut masih mempunyai unsur radikal dan melibatkan secara minimum banyak prosedur pembedahan yang termasuk dalam pembedahan yang lebih radikal. Pembedahan ultra-radikal (ekstensif) adalah lanjutan daripada pembedahan standard dan mungkin melibatkan sekurang-kurangnya satu prosedur tambahan pembedahan ekstensif.
Review methods
Pengulas melakukan pencarian literatur saintifik untuk kajian yang membandingkan pembedahan ultra-radikal dengan pembedahan standard untuk wanita dengan kanser ovari peringkat lanjut. Pengulas mencari kajian terkawal rawak, yang dianggap sebagai jenis kajian terbaik, dan juga kajian bukan rawak yang telah dianalisis menggunakan kaedah yang membolehkan perbezaan antara kumpulan wanita yang menerima pelbagai jenis pembedahan.
Keputusan utama
Pengulas telah mengenal pasti tiga kajian bukan rawak. Bukti adalah sangat terhad dan meragukan untuk semua keputusan kerana para wanita telah dipilih untuk menjalani setiap jenis rawatan, dan bukannya diperuntukkan secara rawak, jadi terdapat risiko bias yang sangat tinggi (kritikal) dalam jenis kajian ini.
Dalam dua kajian (397 wanita), wanita yang menjalani pembedahan radikal untuk membuang tumor mungkin mempunyai 18% hingga 57% kurang risiko kematian berbanding dengan wanita yang menjalani pembedahan standard. Keputusan adalah serupa bagi wanita dengan penyakit yang lebih ekstensif. Terdapat sangat sedikit kematian dalam masa 30 hari selepas pembedahan. Kemungkinan terdapat kurang risiko untuk penyakit merebak dengan pembedahan radikal.
Satu kajian membandingkan pembedahan radikal dengan pembedahan standard yang dikaitkan dengan kedua-dua pembedahan primer awal (tumor dibuang sebelum memulakan kemoterapi) dan pembedahan “debulking” berselang (sebanyak mungkin tumor dibuang di antara sesi kemoterapi) daripada segi kematian, tetapi perbandingan itu tidak adil dan terdapat risiko bias yang tinggi untuk hasil laporan.
Satu kajian (203 wanita) mendapati bahawa wanita yang menjalani prosedur radikal sebagai sebahagian daripada pembedahan “debulking” primer awal mungkin mempunyai 8% hingga 58% kurang risiko untuk penyakit merebak atau kematian berbanding dengan wanita yang menjalani pembedahan standard. Keputusan adalah serupa apabila hanya 139 wanita dengan penyakit yang lebih ekstensif dilibatkan (di mana risiko adalah 18% hingga 67% lebih rendah).
Suatu analisis (527 wanita) yang menggabungkan pembedahan radikal dalam suatu kajian mendapati bahawa wanita yang menjalani prosedur ultra-radikal (menggunakan kedua-dua prosedur pembedahan primer awal dan “debulking” berselang) berkemungkinan dikaitkan dengan 11% hingga 60% risiko yang lebih tinggi untuk penyakit merebak atau kematian berbanding mereka yang menjalani pembedahan standard.
Kesemua kajian mempunyai risiko bias yang sangat tinggi (kritikal) dan pengulas sangat tidak pasti tentang bukti. Pengulas menyertakan agak sedikit wanita disebabkan kriteria kerangkuman yang ketat. Kajian sama ada tidak langsung melaporkan kematian, kesan sampingan atau kualiti hidup, atau melaporkannya dengan tidak lengkap.
Kesimpulan utama dan kualiti bukti
Walaupun beberapa keputusan menyarankan bahawa kelangsungan hidup mungkin lebih baik dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan primer awal ultra-radikal berbanding pembedahan standard, interpretasi perlu dilihat dengan amat waspada, memandangkan kajian tidak direka atau dianalisis dengan baik, justeru kesannya mungkin berada dalam arah yang bertentangan.
Pengulas tidak dapat mencapai sebarang kesimpulan yang muktamad tentang faedah dan mudarat relatif bagi kedua-dua jenis pembedahan. Kajian yang besar dengan rekaan yang lebih baik diperlukan.
Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my