Apakah isunya?
Induksi bersalin (memulakan pelahiran secara buatan) sering diperlukan untuk alasan perubatan, seperti ketika wanita telah melepasi tarikh bersalin. Kaedah induksi yang berbeza boleh digunakan, seperti ubat-ubatan (seperti prostaglandin E₂, misoprostol atau isosorbide mononitrate) atau memecahkan membran. Induksi biasanya dijalankan di hospital; sesetengah kaedah mungkin sesuai untuk pesakit luar wanita, dan dibenarkan pulang ke rumah untuk menunggu progressi pelahiran. Kami menilai kesesuaian, keberkesanan dan keselamatan induksi pesakit luar serta kepuasan wanita dan kos penjagaan kesihatan
Mengapakah ini penting?
Wanita hamil yang telah sampai tarikh bersalin boleh dinilai di hospital sebagai pesakit luar, dengan syarat rawatan induksi diikuti oleh pemantauan untuk masa yang singkat, dan kemudian dihantar ke rumah. Sebagai alternatif, mereka diberi ubat atau rawatan untuk dibawa balik dan diambil di rumah. Wanita mungkin lebih selesa menunggu pelahiran bermula di rumah, dan penjagaan pesakit luar mungkin lebih murah untuk perkhidmatan kesihatan.
Apakah bukti yang kami perolehi?
Ini adalah ulasan kemaskini yang memasukkan enam kajian baharu. Kami memasukkan 34 kajian rawak terkawal yang melibatkan 5003 wanita hamil (tarikh carian: November 2016). Wanita-wanita tersebut adalah sihat dan berisiko rendah untuk komplikasi. Mereka diberi induksi, rawatan palsu (plasebo) atau tanpa rawatan. Maklumat terhad tersedia bagi hasil yang dicari , dan risiko bias adalah rendah atau tidak jelas. Kualiti bukti dinilai sebagai rendah, dengan beberapa penemuan berkualiti sederhana.
Wanita pada tempoh matang bersalin yang diinduksi sebagai pesakit luar mungkin kurang memerlukan induksi lanjutan, berbanding dengan wanita yang diberi plasebo atau tanpa rawatan. Ubat seperti PGE₂ vagina, mifepristone dan misoprostol oral kelihatan berkesan. Tiada perbezaan jelas dilaporkan untuk aktiviti rahim berlebihan (hiper-rangsangan), pembedahan caesarian atau keperluan untuk penjagaan intensif neonatal.
Terlalu sedikit wanita dalam kajian-kajian ini untuk menentukan perbezaan dalam peristiwa yang jarang berlaku, seperti kematian bayi atau penyakit serius pada ibu atau bayi. Kajian-kajian tidak melaporkan penggunaan perkhidmatan kecemasan untuk kembali ke hospital. Sesetengah ubat menyebabkan kesan sampingan (misalnya sakit kepala). Secara keseluruhan, terdapat sedikit maklumat mengenai kos kaedah-kaedah yang berbeza.
Apakah maksudnya?
Untuk wanita hamil sihat yang berisiko rendah pada masa matang untuk bersalin, induksi pesakit luar dan keizinan mereka pulang ke rumah untuk menunggu pelahiran bermula dilihat bersesuaian. Rawatan induksi pesakit luar boleh mengurangkan keperluan kedua-dua ubat lanjutan dan masa dari rawatan hingga kelahiran. Ia tidak meningkatkan kemungkinan keperluan intervensi lain dalam pelahiran. Namun, tiada bukti yang cukup untuk menyatakan dengan pasti induksi pesakit luar adalah selamat. Penyelidikan masa depan harus fokus kepada kaedah pilihan wanita, dan yang paling berkesan dan selamat.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.