Soalan ulasan
Kami melihat kesan merawat orang dengan radang paru-paru menggunakan kortikosteroid (juga dikenali sebagai steroid atau glukokortikoid) terhadap bilangan kematian, tindak balas terhadap rawatan, komplikasi rawatan, dan kesan sampingan. Kami membandingkan rawatan dengan kortikosteroid sebagai tambahan kepada antibiotik dengan plasebo atau tanpa rawatan.
Latar belakang
Radang paru-paru akut ialah jangkitan paru-paru yang dirawat dengan antibiotik yang mensasarkan bakteria penyebab jangkitan. Radang paru-paru agak biasa, dan walaupun dengan rawatan antibiotiknya yang mencukupi, komplikasi dan kadangkala kematian boleh berlaku.
Kortikosteroid ialah hormon yang dihasilkan secara semula jadi dalam kelenjar adrenal. Kortikosteroid didapati bermanfaat dalam rawatan beberapa jenis jangkitan. Walau bagaimanapun, kesan manfaatnya sering diimbangi oleh kesan sampingan yang serius, terutamanya apabila digunakan pada dos yang tinggi dan untuk jangka masa panjang. Ini adalah kemas kini bagi ulasan yang diterbitkan pada tahun 2011.
Tarikh carian
Bukti tersebut adalah terkini sehingga 3 Mac 2017.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan 17 kajian yang menilai terapi kortikosteroid sistemik (diberikan secara intravena atau melalui tablet) untuk orang dengan radang paru-paru (2264 peserta; 1954 orang dewasa dan 310 kanak-kanak). Kami menyertakan 12 kajian baru dalam kemas kini ini dan mengecualikan satu kajian yang disertakan sebelum ini. Semua kajian yang disertakan menilai orang yang mengalami radang paru-paru yang diperoleh di komuniti (pneumonia komuniti (CAP)) dan dirawat di hospital; tiada kajian yang menilai orang yang mengalami radang paru-paru semasa berada di hospital atau yang menggunakan mesin bantuan pernafasan (ventilasi mekanikal).
Sumber pembiayaan kajian
Lapan kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan; tujuh dibiayai oleh penaja akademik; satu dibiayai oleh syarikat farmaseutikal; dan satu melaporkan tidak menerima pembiayaan.
Keputusan utama
Kortikosteroid mengurangkan kematian dalam kalangan orang dewasa dengan CAP teruk, tetapi tidak dalam kalangan orang dengan CAP tidak teruk. Sebanyak lapan belas orang dewasa dengan CAP teruk perlu dirawat dengan kortikosteroid untuk mencegah satu kematian.
Orang dengan CAP yang dirawat dengan kortikosteroid mempunyai kadar kegagalan klinikal yang lebih rendah (kematian, kemerosotan dalam kajian pengimejan, atau tiada peningkatan klinikal), masa pemulihan yang lebih singkat, tempoh tinggal di hospital yang lebih pendek, dan komplikasi yang lebih sedikit. Kami menemui bukti berkualiti baik bahawa kortikosteroid mengurangkan kadar kegagalan klinikal dalam kalangan kanak-kanak dengan radang paru-paru, tetapi data tersebut berdasarkan bilangan kanak-kanak yang kecil dengan pelbagai jenis radang paru-paru.
Orang yang dirawat dengan kortikosteroid mempunyai tahap glukosa darah yang lebih tinggi (hiperglisemia) berbanding mereka yang tidak dirawat dengan kortikosteroid. Rawatan kortikosteroid tidak dikaitkan dengan peningkatan kadar kejadian buruk serius yang lain.
Kortikosteroid bermanfaat untuk orang dewasa dengan CAP teruk. Orang dengan CAP tidak teruk mungkin juga mendapat manfaat daripada terapi kortikosteroid, tetapi tanpa kelebihan dalam kelangsungan hidup.
Kualiti bukti
Kami menurunkan kualiti bukti disebabkan is berkaitan reka bentuk kajian, keputusan yang tidak jelas, atau keputusan yang tidak seragam di antara kajian. Bagi hasil kematian dan kegagalan klinikal dalam kalangan orang dewasa, kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana. Bagi hasil kegagalan klinikal dalam kalangan orang dengan CAP teruk, CAP yang tidak teruk, dan kanak-kanak, kami menilai kualiti buktinya sebagai tinggi.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Keesha Ravintharan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia).