Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk menyiasat sama ada rawatan seperti tekanan hangat, ubat topikal dan skrub kelopak mata di farmasi, antibiotik, steroid, dan urutan kelopak mata adalah rawatan yang berguna untuk hordeolum dalaman (bengkak yang terjadi di bahagian dalam kelopak mata). Para penyelidik Cochrane telah mencari semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati tiada kajian berkaitan.
Mesej utama
Banyak rawatan umum yang boleh didapati untuk merawat hordeolum dalaman. Pada masa ini, tidak ada bukti untuk menunjukkan sama ada mana-mana rawatan ini berkesan.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Hordeolum adalah benjolan biasa yang menyakitkan dalam kelopak mata yang biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria. Jangkitan ini memberi kesan kepada kelenjar minyak dalam kelopak mata dan menyebabkan benjolan. Selalunya, benjolan yang dijangkiti akan sembuh dengan sendiri, tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, jangkitan kadangkala boleh merebak ke kelenjar lain di mata, dan menjadi kekal. Ia juga boleh bertukar menjadi sista (dikenali sebagai chalazion). Hordeola boleh jadi dalaman (di bahagian dalam kelopak mata), atau luaran (di luar kelopak mata berhampiran bulu mata). Hordeolum di luar kelopak mata dikenali sebagai stye. Hordeola juga boleh menjadi akut (muncul tiba-tiba dan sembuh dalam masa yang singkat), atau kronik (kekal). Rawatan biasa untuk hordeola termasuk tekanan hangat, ubat topikal dan skrub kelopak mata yang di farmasi, antibiotik atau steroid yang ditetapkan oleh doktor, dan urutan kelopak mata.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penyelidik Cochrane mencari kajian pesakit hordeolum dalaman akut. Mereka tidak mencari kajian pesakit stye atau hordeola yang berkekalan. Mereka dapati tiada kajian relevan yang telah membandingkan rawatan-rawatan. Oleh itu, tiada bukti yang ditemui yang menyolong atau menentang penggunaan mana-mana rawatan umum untuk hordeola.
Adakah ulasan ini terkini?
Para penyelidik Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 2 Disember 2016.
Diterjemahkan oleh Siti Hajar Zuber (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).