Ubat penurun tekanan darah untuk orang dewasa dengan penyakit buah pinggang kronik tahap awal (tanpa diabetes)

Apakah isunya?

Penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah keadaan jangka panjang yang berlaku apabila buah pinggang rosak. Adalah penting untuk mendiagnosis dan merawat CKD pada tahap awal untuk mencegah atau menangguhkan tahap CKD yang lebih serius (dialisis atau pemindahan). Penghidap CKD berisiko mendapat penyakit kardiovaskular (penyakit jantung dan paru-paru). Dilaporkan bahawa ubat penurun tekanan darah boleh mengurangkan atau melambatkan masalah kardiovaskular pada orang dewasa dengan CKD (merentasi tahap awal, dialisis, dan pemindahan). Walau bagaimanapun, kami kurang pasti tentang faedah ini pada orang dewasa dengan CKD awal (tahap 1 hingga 3 sahaja) yang tidak menghidap diabetes.

Kami ingin mengetahui sama ada mengambil ubat penurun tekanan darah adalah lebih baik atau lebih teruk daripada plasebo, dan jika ya, jenis ubat penurun tekanan darah yang paling berkesan.

Apa yang kami lakukan?

Kami meneroka bukti tentang kesan ubat penurun tekanan darah terhadap mengurangkan risiko kematian pesakit, penyakit kardiovaskular dan kesan sampingan atau menambahbaik fungsi buah pinggang penghidap CKD awal (tanpa diabetes). Kami mendapati enam kajian berkualiti rendah. Bukti adalah terkini sehingga 6 Julai 2023.

Apakah yang telah kami dapati?

Kami mendapati enam kajian yang merawakkan sejumlah 9379 pesakit yang mempunyai CKD awal (tahap 1 hingga 3 sahaja, tanpa diabetes). Pesakit berumur 18 hingga 75 tahun, 79% adalah lelaki, kebanyakannya mempunyai tekanan darah tinggi dan berasal dari China, Eropah, Jepun, dan AS.

Keenam-enam kajian itu dianggap berisiko tinggi berat sebelah. Ini disebabkan kaedah kajian yang kurang dijelaskan, tidak semua pesakit dibutakan terhadap rawatan mereka, dan terdapat ramai peserta yang menarik diri. Lima daripada enam kajian dibiayai oleh pengeluar ubat atau oleh agensi yang mempunyai kepentingan komersial dalam keputusan kajian, satu kajian tidak mengisytiharkan sumber pembiayaan mereka.

1. Benazepril atau trandolapril boleh mengurangkan risiko kematian, mengalami strok, infarksi miokardium, dan kesan sampingan, tetapi mungkin atau mungkin tidak mengurangkan kegagalan jantung kongestif atau serangan iskemia sementara.

2. Losartan mungkin atau mungkin tidak mengurangkan risiko kematian, kesan sampingan atau kehadiran proteinuria dan mungkin tidak menambahbaik fungsi buah pinggang (eGFR) atau tekanan darah.

3. Enalapril, perindopril, atau trandolapril mungkin atau mungkin tidak lebih baik daripada olmesartan, losartan, atau candesartan untuk proteinuria dan tekanan darah.

Kesimpulan

Tiada bukti yang mencukupi untuk mengetahui sama ada ubat penurun tekanan darah berfungsi dengan baik pada pesakit CKD awal (tahap 1 hingga 3) yang tidak menghidap diabetes. Kami juga tidak tahu jenis ubat penurun tekanan darah yang lebih baik daripada yang lain.

Kualiti dan kepastian bukti dianggap sangat rendah. Ini disebabkan oleh risiko berat sebelah yang tinggi dalam kajian, kaedah yang dijalankan adalah kurang baik, dan terlalu sedikit data daripada terlalu sedikit pesakit. Kami telah mengenal pasti bahagian yang mempunyai ketidakpastian yang besar untuk penyelidikan lanjut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information