Strategi untuk meningkatkan penggunaan ubat yang selamat dan berkesan oleh pengguna: gambaran keseluruhan ulasan sistematik

Soalan ulasan: Ulasan ini dikemas kini bagi gambaran keseluruhan yang pertama diterbitkan pada tahun 2011. Penyelidik dalam Kerjasama Cochrane menyemak bukti daripada ulasan sistematik tentang kesan intervensi untuk meningkatkan penggunaan ubat yang selamat dan berkesan oleh pengguna, tanpa mengira penyakit, jenis ubat, populasi atau suasana.

Latar belakang: Ubat ialah asas rawatan untuk banyak masalah kesihatan. Banyak strategi wujud untuk membantu orang ramai menggunakan ubat-ubatan dengan selamat dan berkesan, tetapi penyelidikan dalam bidang itu kurang teratur merentas penyakit, populasi dan suasana. Strategi ini menyukarkan penggubal dasar, profesional kesihatan dan lain-lain untuk mencari dan menggunakan bukti tentang perkara yang berkesan dan tidak berkesan.

Ciri-ciri kajian: Gambaran keseluruhan ini merumuskan bukti daripada 75 ulasan sistematik tentang penggunaan ubat oleh pengguna yang diterbitkan pada Mac 2012. Ulasan merangkumi penyakit akut dan kronik dalam populasi dan suasana yang pelbagai; dan menilai pelbagai strategi untuk menambah baik penggunaan ubat, termasuk sokongan untuk perubahan tingkah laku, pengurangan risiko dan pemerolehan kemahiran. Pematuhan ubat adalah hasil yang paling biasa dilaporkan, dengan yang lain seperti pengetahuan dan hasil klinikal juga dilaporkan. Peristiwa buruk yang selalu kurang dikenal pasti.

Keputusan utama: Secara kolektif, keputusan menunjukkan bahawa terdapat banyak laluan berpotensi berbeza yang penggunaan ubat-ubatan oleh pengguna boleh disasarkan untuk meningkatkan hasil. Walau bagaimanapun, tiada strategi tunggal memperbaik semua hasil penggunaan ubat-ubatan merentas semua penyakit, populasi atau suasana.

Strategi yang dilihat untuk meningkatkan penggunaan ubat termasuk program pemantauan dan pengurusan kendiri ubat, manakala rejimen dos yang dipermudah dan secara langsung melibatkan ahli farmasi dalam pengurusan ubat (contohnya ulasan ubat) nampak menggalakkan. Strategi lain, seperti preskripsi antibiotik tertunda; alatan pengurusan praktikal (contohnya peringatan, pembungkusan); pendidikan atau maklumat digabungkan dengan strategi lain (contohnya latihan kemahiran pengurusan kendiri, kaunseling); dan insentif kewangan, mungkin juga mempunyai beberapa kesan positif, tetapi kesannya kurang konsisten.

Beberapa strategi, seperti terapi yang diperhatikan secara langsung, mungkin tidak berkesan. Strategi lain seperti menyediakan maklumat atau pendidikan sahaja mungkin mempunyai kesan yang berubah-ubah, tidak berkesan untuk mengubah beberapa hasil (contohnya pematuhan ubat-ubatan) tetapi menambah baik yang lain seperti pengetahuan, yang merupakan kunci untuk pilihan ubat-ubatan termaklum. Walaupun terdapat dua kali ganda bilangan ulasan yang disertakan dalam kemas kini ini, ketidakpastian kekal tentang kesan daripada banyak intervensi, dan bukti tentang perkara yang berkesan adalah sangat jarang untuk beberapa populasi, termasuk kanak-kanak dan orang muda, penjaga dan orang yang mempunyai pelbagai morbiditi.

Kualiti bukti: Ulasan yang disertakan selalunya mempunyai batasan metodologi - pada peringkat kajian, peringkat ulasan, atau kedua-duanya - bermakna keputusan harus ditafsirkan dengan berhati-hati.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information