Apakah isunya?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada memberi wanita yang menghidap penyakit kencing manis penjagaan khusus sebelum mereka menjadi hamil mempunyai kesan ke atas kesihatan mereka dan kesihatan bayi mereka pada masa hadapan. Penyelidik mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini (Tarikh carian: Januari 2017).
Mengapakah ini penting?
Jika seseorang wanita mempunyai penyakit kencing manis jenis 1 atau jenis 2, dan dia hamil, dia mempunyai risiko yang lebih besar mendapat tekanan darah tinggi, dan bayinya mempunyai risiko yang lebih besar dilahirkan awal (kelahiran pramatang - sebelum 37 minggu). Di samping itu, kehamilannya lebih berkemungkinan untuk mendapat satu atau dua komplikasi kencing manis yang diketahui seperti penyakit jantung, masalah penglihatan dan masalah dengan sistem saraf. Bayi yang dilahirkan kepada ibu dengan penyakit kencing manis jenis 1 atau jenis 2 boleh menjadi lebih besar, dan mereka mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi dan kolum tulang belakang dan otak yang tidak normal. Mereka juga berisiko menghidapi penyakit kencing manis jenis 2 dalam jangka panjang.
Kawalan yang berkesan terhadap tahap gula dalam darah (kawalan glisemik) adalah sebahagian daripada penjagaan penyakit kencing manis. Hubungan antara kawalan glisemik dan hasil kesihatan yang lebih baik untuk ibu dan bayi mereka menunjukkan bahawa penjagaan pakar sebelum kehamilan (penjagaan sebelum hamil) adalah bermanfaat. Ini melibatkan pendidikan dan sokongan, dan bantuan dengan pemantauan diri tahap gula dalam darah, serta penjagaan diri.
Penyelidik mencari kajian yang melihat kepada rawatan sebelum kehamilan di klinik kencing manis.
Apakah bukit yang penyelidik perolehi?
Penyelidik mendapati tiga kajian rawak terkawal, dijalankan di klinik penyakit kencing manis di Amerika Syarikat. Jumlah peserta dalam kajian ini adalah 254. Peserta berkenaan terdiri daripada gadis remaja yang terlibat dalam program READY-Girls (pendidikan kesihatan reproduktif dan kesedaran penyakit kencing manis dalam belia untuk gadis). Penjagaan mereka dibandingkan dengan penjagaan piwaian.
Ketiga-tiga kajian ini memberikan penyelidik maklumat mengenai hasil kesihatan yang penyelidik perlukan. Dalam satu kajian, tiada kehamilan diantara para peserta sepanjang tempoh kajian, dan dua kajian lain mempunyai laporan kehamilan yang tidak mencukupi. Tiada data tentang jangka hasil pendek dan panjang untuk ibu dan bayi mereka, atau penggunaan perkhidmatan kesihatan dan kos yang berkaitan.
Apakah maksudnya?
Disebabkan oleh maklumat yang tidak mencukupi, penyelidik tiada bukti dari ulasan Cochrane ini untuk menyokong amalan tentang topik ini. Kajian rawak terkawal yang lagi besar dan direka dengan baik adalah diperlukan. Tiga kajian sedang dijalankan dan akan dipertimbangkan dalam kemaskini ulasan yang seterusnya.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.