Dos klorpromazin untuk pesakit skizofrenia

Soalan sulasan

Ulasan ini melihat dos klorpromazin yang terbaik untuk merawat pesakit skizofrenia.

Latar belakang

Skizofrenia adalah penyakit mental serius yang melibatkan kira-kira 1% daripada populasi orang dewasa di seluruh dunia. Pesakit skizofrenia sering mendengar suara dan melihat sesuatu (halusinasi) dan mempunyai kepercayaan aneh yang bertentangan dengan komuniti setempat (delusi). Rawatan utama untuk simptom skizofrenia adalah ubat antipsikotik. Klorpromazin adalah salah satu ubat antipsikotik pertama yang didapati berkesan sebagai rawatan skizofrenia pada tahun 1950-an. Ia masih kekal sebagai salah satu rawatan yang paling biasa digunakan dan tidak mahal sehingga hari ini. Walau bagaimanapun, ia juga mempunyai kesan-kesan sampingan yang serius seperti kabur penglihatan, mulut kering, terketar-ketas atau gegaran yang tidak terkawal, kemurungan, kekejangan otot dan kegelisahan.

Ciri-ciri kajian

Pencarian terkini untuk kajian rawak terkawal yang berkaitan telah dijalankan pada Oktober 2014, dan sekali lagi, pada Disember 2016 dan satu kajian baru telah ditemui. Lima kajian terkini telah ditemui yang memenuhi kriteria untuk semakan. Semua kajian yang disertakan telah dijalankan secara rawak, dan menyelidik kesan pemberian klorpromazin pada dos yang berbeza kepada pesakit skizofrenia. Jumlah peserta adalah 585 orang.

Keputusan utama

Klorpromazin menunjukkan kesan yang berlainan pada dos yang berbeza. Berdasarkan bukti yang lemah, kesan terhadap kesihatan mental peserta pada dos rendah dan dos sederhana adalah agak sama. Walau bagaimanapun, terdapat lebih banyak kesan sampingan pada dos sederhana. Terdapat lebih banyak peningkatan dalam kesihatan mental peserta pada dos tinggi berbanding dengan dos rendah. Namun, kesan sampingan adalah lebih banyak dan menjejaskan pada dos tinggi. Sepanjang lima puluh tahun yang lepas, dos rendah lebih digemari untuk diberikan kepada pesakit. Perubahan ini berlaku secara beransur-ansur dan berdasarkan pengalaman harian dan kesepakatan, bukannya berdasarkan bukti saintifik yang kukuh. Klorpromazin mempunyai kos yang rendah dan boleh didapati secara meluas. Walaupun terdapat banyak kesan sampingan, klorpromazin berkemungkinan kekal sebagai ubat penanda aras atau piawaian, dan sebagai salah satu rawatan untuk skizofrenia yang paling banyak digunakan di seluruh dunia.

Kualiti bukti

Kesemua kajian dalam ulasan dijalankan di hospital dan semua kecuali satu telah dijalankan sejak 20 tahun lepas. Terdapat bilangan kajian yang terhad dengan kualiti yang terhad dan ini dilaporkan dengan lemah dan berjangka masa pendek. Penyelidikan lanjutan dan kajian mengenai dos klorpromazin adalah wajar untuk dijalankan.

Ben Gray, Senior Peer Researcher, McPin Foundation. http://mcpin.org/

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information