Lamotrigine sebagai terapi tambahan untuk sawan tonik-klonik umum kalis ubat

Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama diterbitkan pada tahun 2010.

Latar belakang

Epilepsi ialah keadaan neurologi (otak) yang biasa yang dicirikan dengan sawan berulang. Kebanyakan orang boleh mengawal sawan mereka dengan satu ubat antiepileptik, namun, kira-kira 30% terus mengalami sawan. Orang-orang ini dikatakan mempunyai epilepsi kalis ubat. Lamotrigine ialah ubat antiepileptik, yang boleh digunakan sebagai rawatan tambahan dengan ubat antiepileptik yang lain untuk cuba menguruskan epilepsi kalis ubat.

Tujuan ulasan

Ulasan ini mengkaji sama ada lamotrigine berkesan dan boleh diterima apabila digunakan sebagai rawatan tambahan, bersama-sama dengan ubat antiepileptik yang lain, untuk orang dengan epilepsi umum kalis ubat (menjejaskan seluruh otak dari awal) dengan sawan tonik-klonik (sawan yang mana orang kehilangan kesedaran dan mengalami sentakan yang cepat dan berirama).

Keputusan

Kami menemui tiga kajian, melibatkan 300 orang, yang mengkaji lamotrigine untuk orang dengan sawan tonik-klonik umum kalis ubat. Orang yang menerima lamotrigine tambahan hampir dua kali ganda cenderung untuk mengalami pengurangan 50% atau lebih dalam bilangan sawan tonik-klonik umum daripada orang yang menerima plasebo tambahan (ubat tidak aktif, palsu). Lamotrigine tidak mempengaruhi dengan signifikan: jumlah orang yang bebas sepenuhnya dari sawan, jumlah orang yang menarik diri dari rawatan, atau jumlah orang yang mengalami kesan-kesan buruk yang biasa.

Walau bagaimanapun, kami sangat tidak pasti sama ada penemuan ini adalah tepat. Ini adalah kerana tidak ramai orang yang terlibat dalam kajian-kajian tersebut, dan kami tidak jelas mengenai kaedah yang digunakan dalam beberapa kajian tersebut. Bagi sebab ini, kami tidak dapat mengulas mengenai penggunaan lamotrigine.

Lebih banyak kajian, yang menyertakan lebih ramai orang, dan dijalankan dalam jangka masa yang lebih panjang diperlukan untuk memandu penggunaan lamotrigine dengan betul untuk orang dengan sawan tonik-klonik umum kalis ubat.

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information