Ubatan untuk mencegah loya dan muntah dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda yang sedang menjalani kemoterapi

Latar belakang

Penggunaan kemoterapi untuk merawat kanser dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda boleh menyebabkan loya (sensasi rasa nak muntah) dan muntah. Sensasi yang amat tidak menyenangkan tersebut boleh menjadi masalah walaupun terdapat ubatan antiemetik (anti-penyakit) yang lebih baik.

Soalan ulasan

Berkesankah ubatan untuk mencegah loya dan muntah dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda yang sedang menjalani kemoterapi?

Keputusan utama

Kami mendapati hanya 34 kajian percubaan rawak dalam kalangan kanak-kanak, yang menilai 26 jenis kombinasi ubatan. Kebanyakan kajian cenderung melaporkan muntah lebih daripada loya, walaupun loya adalah pengalaman yang amnya membawa lebih ketidakselesaan. Kami tidak dapat membuat kesimpulan kukuh tentang ubat terbaik, berapa dos ubat yang paling berkesan, atau sama ada lebih baik untuk mengambil rawatan oral (melalui mulut) atau intravena (suntikan melalui salur darah). Antagonis 5-HT 3 (‘trons’, contohnya ondansetron, granisetron atau tropisetron ) dilihat lebih baik berbanding agen yang lebih lama, dan tambahan dexamethasone kepada ubatan tersebut membuatnya lebih berkesan. Kajian lanjut harus mempertimbangkan apa-apa yang pesakit dan keluarga dianggap sebagai penting, menggunakan langkah-langkah mengenalpasti loya dan muntah yang ditetapkan, dan cuba menggunakan teknik yang lebih baru dalam menjalankan kajian untuk memaksimumkan maklumat yang ada.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information