Ubat anti-radang bukan steroid oral berbanding ubat penghilang sakit oral lain untuk terseliuh, ketegangan dan lebam

Pengenalan dan matlamat

Terseliuh, ketegangan, dan lebam adalah kecederaan lazim, dan orang dengan kecederaan ini sering memerlukan pereda sakit, diberi sebagai tablet atau kapsul yang ditelan (oral). Terdapat banyak jenis ubat penahan sakit oral untuk merawat kecederaan tersebut. Kami ingin tahu sama ada terdapat perbezaan kesakitan, bengkak, fungsi, atau kesan sampingan yang tidak diingini apabila terseliuh, ketegangan, dan lebam dirawat dengan ubat anti-radang bukan steroid oral (NSAID, seperti ibuprofen) berbanding parasetamol, opioid (contohnya codeine), ubat komplimentari atau alternatif, atau kombinasi ubat-ubatan ini.

Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane yang diterbitkan pada 2015.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan sehingga Januari 2020 untuk kajian yang membandingkan NSAID dengan ubat pereda sakit lain dalam kalangan orang yang terseliuh, ketegangan, dan lebam. Peserta kajian boleh sebarang usia. Kami menilai kajian yang disertakan untuk menilai kebolehpercayaan (kepastian) bukti. Kami mengkategorikan bukti sebagai kepastian tinggi, sederhana, rendah, atau sangat rendah. Kepastian tinggi bermakna kami yakin dengan bukti tersebut, kepastian sederhana bermakna kami agak yakin, kepastian rendah atau sangat rendah bermakna kami tidak pasti atau sangat tidak pasti dengan kebolehpercayaan bukti.

Hasil carian kami dan penerangan kajian

Kami memasukkan 20 kajian dengan 3305 peserta. Tujuh kajian melibatkan orang dengan buku lali terseliuh sahaja. Tiga kajian melibatkan kanak-kanak sahaja. Kebanyakan peserta kajian lain adalah orang dewasa muda, dan terdapat sedikit lelaki berbanding wanita. Segelintir peserta berumur lebih 65 tahun. Sebelas kajian membandingkan NSAID dengan parasetamol, enam kajian membandingkan NSAID dengan opioid, dan empat kajian membandingkan NSAID dengan parasetamol yang digabung dengan opioid. Kajian-kajian melaporkan hasil yang kadang-kadang berbeza dari satu jam setelah mengambil ubat, hingga 10 ke 14 hari.

Keputusan utama

Tiada perbezaan antara NSAID dan parasetamol dalam kesakitan selepas satu hingga dua jam, atau selepas dua hingga tiga hari (bukti kepastian tinggi), dan mungkin tiada perbezaan selepas seminggu atau lebih (bukti kepastian rendah). Terdapat bukti kepastian rendah NSAID mungkin meberi sedikit perbezaan untuk kebengkakan selepas seminggu atau lebih. Kami tidak pasti sama ada NSAID membuat perbezaan untuk pengembalian fungsi selepas seminggu atau lebih (bukti kepastian sangat rendah). Terdapat bukti kepastian yang rendah NSAID mungkin meningkatkan sedikit kesan sampingan yang tidak diingini yang berkaitan dengan usus.

Mungkin tiada perbezaan antara NSAID dan opioid untuk kesakitan pada satu jam (bukti kepastian sederhana), dan mungkin tiada perbezaan empat atau tujuh hari selepas mengambil ubat (bukti kepastian rendah). Kami tidak pasti sama ada NSAID membuat perbezaan untuk kebengkakan selepas 10 hari (bukti kepastian sangat rendah). Terdapat bukti kepastian rendah NSAID dapat meningkatkan pengembalian fungsi dalam 7 hingga 10 hari. Terdapat bukti kepastian sederhana NSAID mungkin mengakibatkan kurang kesan sampingan yang tidak diingini, seperti mual dan pening, berbanding opioid.

Bukti mencadangkan sedikit atau tiada perbezaan antara NSAID dan gabungan parasetamol dengan opioid untuk kesakitan, bengkak, pengembalian fungsi, atau kesan sampingan yang tidak diingini. Walau bagaimanapun, bukti kepastian adalah sangat rendah, oleh itu kami tidak pasti tentang keputusan tersebut.

Tiada kajian yang melaporkan risiko kecederaan semula selepas rawatan.

Kami tidak menemui kajian yang membandingkan NSAID dengan ubat komplementari atau alternatif.

Kesimpulan

Bukti setakat ini tidak menemui perbezaan antara NSAID dan ubat penghilang sakit lain untuk melegakan sakit ketegangan, terseliuh, dan lebam dalam kalangan orang muda. Walau bagaimanapun, kami memerlukan lebuh banyak bukti lebih baik tentang pengembalian fungsi dan kesan sampingan yang tidak diingini dalam kalangan semua kumpulan usia, terutama dalam kalangan orang tua.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information