Mesej utama
- Berbanding dengan sisipan kasut palsu, sisipan kaki berkontur lengkung atau sisipan penegang kasut berkemungkinan tidak memberikan manfaat penting secara klinikal untuk kesakitan, kefungsian, atau kualiti kehidupan. Risiko kesan yang tidak diingini boleh menjadi sama.
- Berbanding dengan suntikan plasebo, satu suntikan asid hyaluronik bermungkinan tidak memberikan manfaat penting untuk sakit atau fungsi. Kualiti hidup boleh menjadi sama dan risiko kesan yang tidak diingini boleh menjadi lebih rendah.
- Kami tidak mempunyai bukti yang jelas mengenai kefaedahan dan kemudaratan rawatan yang lain dan lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukannya.
Apakah radang sendi jari ibu kaki dan bagaimana ia dirawat?
Artritis bermakna keradangan sendi dan sangat biasa berlaku. Artritis yang mempengaruhi jari ibu kaki menyebabkan sakit, kecacatan dan penurunan julat pergerakan. Rawatan bukan pembedahan yang biasa termasuk terapi haba dan sejuk, ubat penahan sakit, steroid, kasut yang diubahsuai dan sisipan kasut.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan bukan pembedahan untuk radang sendi ibu jari kaki dapat mengurangkan sakit manusia dan mempertingkatkan fungsi mereka, kualiti hidup dan struktur sendi ibu jari kaki (berdasarkan sinar-X). Kami juga ingin mengetahui sekiranya ubatan tersebut menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menyiasat sebarang rawatan bukan pembedahan berbanding dengan rawatan plasebo (sulih atau palsu) atau rawatan bukan pembedahan lain pada pesakit radang sendi ibu jari kaki.
Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian dan menaksir keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Enam kajian dengan 547 peserta berusia antara 32 dan 62 tahun. Empat kajian dijalankan di Australia, satu di Turki, dan satu di Amerika Syarikat. Setiap kajian melihat kepada intervensi yang berbeza iaitu:
• sisipan kaki berkontur lengkung berbanding sisipan palsu;
• sisipan penegang kasut berbanding sisipan palsu;
• suntikan asid hyaluronik (bahan yang berlaku secara semula jadi di dalam badan yang membantu melincirkan dan melindungi sendi) berbanding suntikan salin (plasebo);
• sisipan kaki berkontur lengkung berbanding kasut bertapak lebihan tumit;
• terapi peloid (aplikasi lumpur tanah liat pada 42°C) berbanding terapi parafin;
• mobilisasi sesamoid (menggerakkan tulang kecil di kaki), fleksor halusis longus (otot yang menghubungkan otot betis ke jari ibu kaki) pengukuhan dan latihan berjalan ditambahi terapi fizikal berbanding terapi fizikal sahaja.
Keputusan utama
Sisipan kaki kontur lengkung berbanding dengan sisipan palsu (1 kajian, 88 orang) berkemungkinan tidak mengurangkan sakit, atau meningkatkan fungsi atau kualiti hidup. Kemungkinan terdapatnya risiko kesan yang tidak diingini yang sama. Kajian ini tidak melaporkan keputusan sinar-X.
Pada skala 0 hingga 10, yang mana 0 adalah tidak sakit, orang dengan sisipan kaki berkontur lengkung melaporkan pengurangan rasa sakit sebanyak 0.4 mata
• orang dengan sisipan kaki berkontur lengkung menilai sakit mereka pada 3.5 mata;
• orang dengan sisipan palsu menilai sakit mereka sebagai 3.9 mata.
Pada skala 0 hingga 100, yang mana 100 adalah fungsi terbaik, orang dengan sisipan kaki berkontur lengkung melaporkan kemerosotan fungsi yang teruk sebanyak 7.8 mata.
• orang dengan sisipan kaki kontur lengkung menilai fungsi mereka sebagai 65.5 mata.
• orang dengan sisipan palsu menilai fungsi mereka pada 73.3 mata.
Pada skala -0.04 hingga 1.00, yang mana 1.00 adalah kualiti hidup terbaik, orang yang mengalami sisipan kaki berkontur lengkung melaporkan tiada perbezaan dalam kualiti hidup mereka
• orang dengan sisipan kaki berkontur lengkung menilai kualiti hidup mereka pada 0.81 mata.
• orang yang mempunyai sisipan palsu menilai kualiti hidup mereka pada 0.81 mata.
Kesan yang tidak diingini (kebanyakannya sakit kaki) dilaporkan 6% lebih sedikit pada orang dengan sisipan kaki berkontur lengkung
• 4/47 (9%) orang dengan sisipan kaki berkontur lengkung melaporkan kesan yang tidak diingini.
• 6/41 (15%) orang dengan sisipan palsu melaporkan kesan yang tidak diingini.
Penarikan diri disebabkan oleh kesan yang tidak diingini dilaporkan dengan 2% lebih ramai pada orang dengan sisipan kaki berkontur lengkung
- 1/47 (2%) orang dengan sisipan kaki berkontur lengkung telah menarik diri disebabkan oleh kesan yang tidak diingini.
- 0/41 (0%) orang dengan sisipan palsu telah menarik diri disebabkan oleh kesan yang tidak diingini.
Sisipan penegang kasut berbanding dengan sisipan palsu (1 kajian, 100 orang) berkemungkinan tidak mengurangkan sakit, meningkatkan fungsi atau kualiti hidup. Kemungkinan terdapat risiko kesan yang tidak diingini yang sama.
Suntikan asid hyaluronik berbanding dengan suntikan plasebo (1 kajian, 151 orang) berkemungkinan tidak mengurangkan sakit, atau meningkatkan fungsi, dan boleh tidak meningkatkan kualiti hidup. Kemungkinan terdapat risiko kesan yang tidak diingini yang lebih rendah.
Apakah batasan bukti?
Untuk radang sendi jari ibu kaki, kami agak berkeyakinan bahawa tidak ada faedah rawatan sisipan kaki berkontur lengkung, sisipan penegang kasut, atau suntikan asid hyaluronik, walaubagaimana pun tidak ada kajian yang mencukupi untuk kepastian.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu, yang diterbitkan pada tahun 2010. Bukti adalah terkini sehingga 21 Februari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemahkan Rohayu Izanwati Mohd Rawi (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM).