CO 2 panas untuk pembedahan laparoskopi

Latar belakang

Dalam pembedahan laparoskopi, satu hirisan kecil dibuat pada abdomen dengan menggunakan instrumen panjang dan kamera video. Karbon dioksida (CO 2 ) diisi untuk memisahkan dinding perut daripada organ dalaman bagi mewujudkan ruang untuk prosedur pembedahan dan pemonitoran di dalam abdomen. Secara tradisinya, CO 2 tidak panas digunakan tetapi terdapat cadangan bahawa CO 2 panas mungkin dapat mengelakkan hipotermia. Hipotermia sentiasa dikaitkan dengan serangan jantung, degupan jantung yang abnormal, peningkatan jangkitan, penurunan keupayaan pembekuan darah dan peningkatan kehilangan darah. Kami berhasrat untuk menyiasat peranan dipanaskan berbanding dengan CO 2 sejuk dalam pembedahan perut laparoskopi.

Ciri-ciri Kajian

Kami membuat carian terhadap rujukan kesusasteraan perubatan untuk kajian rawak terkawal (peserta diagihkan secara rawak ke dalam satu daripada dua kumpulan rawatan) yang membandingkan CO 2 yang panas dan sejuk. Kami menganalisis data daripada kajian tersebut untuk perubahan suhu teras. Kami juga membandingkan skor kesakitan selepas pembedahan dan keperluan ubat tahan sakit, tempoh berada di hospital, tempoh pembedahan dan pengabutan kanta kamera video pembedahan. Bukti adalah terkini sehingga September 2016.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami mengenal pasti dan mengambil kira 22 kajian. Terdapat peningkatan sebanyak 0.31 °C dalam kumpulan CO 2 yang panas dan lembap berbanding kumpulan CO 2 yang sejuk namun data yang diperoleh adalah heterogen (sangat berubah-ubah). Walau bagaimanapun, jika analisis dihadkan terhadap lapan kajian yang berisiko rendah untuk bias dalam melaporkan suhu teras, tiada perbezaan ketara yang ditemui. Selain itu, tiada perbezaan suhu didapati untuk gas panas dan gas tidak lembap berbanding dengan gas sejuk.

Tiada perbezaan dalam kesakitan selepas pembedahan dengan insuflasi panas atau sejuk. Walau bagaimanapun, penggunaan ubat tahan sakit adalah lebih tinggi dalam kumpulan yang menerima gas panas yang tidak lembap pada hari pertama dan kedua selepas pembedahan.

Gas panas nampaknya tidak mengubah tempoh berada di hospital, pengabutan kanta atau tempoh pembedahan. Tempoh berada di bilik pemulihan adalah lebih pendek dalam kumpulan yang menerima gas panas namun data adalah heterogen (sangat berubah-ubah). Apabila kami hanya mengambil kira kajian yang berisiko rendah untuk bias, data menjadi homogen (kurang berubah-ubah) dan tempoh masa berada di bilik pemulihan tidak jauh berbeza antara kumpulan yang menerima gas panas dan sejuk.

Kesimpulan Penulis

Sungguhpun gas panas dan lembap membawa kepada penurunan yang lebih kecil dalam suhu badan teras, keadaan ini tidak mengambil kira penambahbaikan keadaan dalam mana-mana pesakit. Oleh itu, tiada bukti yang jelas terhadap penggunaan insuflasi gas panas dengan atau tanpa pelembapan dalam pembedahan laparoskopi.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information