Mesej utama
- Oleh kerana kekurangan bukti yang kukuh, manfaat senaman terapeutik untuk skoliosis idiopatik adalah tidak pasti.
- Peserta yang memakai alat pendakap mungkin mengalami kurang perkembangan lengkung jika mereka melakukan senaman terapeutik.
- Jika dibandingkan dengan tanpa rawatan, senaman terapeutik mungkin akan memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam perkembangan skoliosis dan isu kosmetik, tetapi ia boleh meningkatkan sedikit kualiti hidup.
- Penyelidikan lanjutan diperlukan dalam bidang ini, dengan menumpukan kepada hasil yang sangat relevan secara klinikal seperti kualiti hidup, dan isu psikologi dan kosmetik.
Apakah skoliosis idiopatik?
Skoliosis adalah keadaan yang menyebabkan lengkungan tiga dimensi secara keseluruhan (kilasan) pada tulang belakang. Jenis yang paling biasa adalah 'idiopatik,' yang bermaksud penyebab sebenar adalah tidak diketahui. Skoliosis menjejaskan 2% hingga 3% golongan orang muda yang berusia 10 tahun hingga dewasa sepenuhnya. Apabila tahap kelengkungan pada tulang belakang melepasi tahap tertentu pada proses akhir tumbesaran, ia boleh menyebabkan masalah ketika dewasa, seperti isu kualiti hidup, hilang upaya, isu kosmetik, keterbatasan aktiviti, dan mungkin masalah pernafasan.
Bagaimanakah keadaan ini dirawat?
Dalam kebanyakan kes, darjah lengkungan skoliosis adalah kecil dan tidak memerlukan rawatan. Sekiranya rawatan didapati sesuai, pilihan rawatan utama untuk mencegah perkembangan skoliosis termasuklah senaman terapeutik, alat pendakap, dan pembedahan. Oleh kerana sifat progresif keadaan ini, golongan remaja biasanya akan dirawat apabila lengkungan telah didiagnosis dan tulang masih mengalami tumbesaran bermaksud risiko perkembangan masih ada. Jika lengkungan terus berkembang, tiada rawatan yang berjaya meluruskan tulang belakang sepenuhnya. Kanak-kanak dengan lengkungan yang lebih besar mungkin perlu memakai alat pendakap atau, jika lengkungan adalah teruk, mereka perlu menjalani pembedahan untuk sebolehnya mengembalikan postur yang normal. Senaman terapeutik merupakan antara pilihan untuk kes-kes yang kurang teruk untuk mengurangkan risiko perkembangan dan mengelakkan penggunaan alat pendakap; juga, ia boleh digunakan dalam lengkungan yang lebih teruk dengan kombinasi bersama penggunaan alat pendakap. Dalam kes ini, tujuannya adalah untuk mengurangkan kesan sampingan menggunakan alat pendakap (kelemahan otot, ketegaran, punggung rata), dan meningkatkan keberkesanannya.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada senaman terapeutik berkesan dalam mengurangkan lengkungan tulang belakang dan menangguhkan atau mengelakkan rawatan invasif seperti alat pendakap atau pembedahan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian di dalam pangkalan data perubatan di mana individu diletakkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan yang membandingkan senaman terapeutik dengan tanpa rawatan, rawatan bukan pembedahan yang lain seperti alat pendakap, atau senaman lain. Kami mengekstrak dan merumuskan data dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan ketepatan keputusannya.
Apakah yang kami temui?
Kami memasukkan 13 kajian melibatkan 583 peserta. Kebanyakan peserta mempunyai skoliosis dengan tahap keterukan rendah atau sederhana. Lima kajian telah dijalankan di China dan satu di Brazil, Kanada, Itali, Korea, Turki, Arab Saudi, Amerika Syarikat, dan Mesir. Senaman terapeutik yang dinilai dalam kajian adalah berbeza dari segi jenis dan tempoh (antara 12 dan 42 bulan).
Kami sangat tidak pasti sama ada senaman terapeutik adalah kurang berkesan daripada menggunakan alat pendakap dalam mengurangkan perkembangan lengkungan pada remaja dengan skoliosis keterukan sederhana, atau sedikit menambahbaik kualiti hidup.
Kami tidak pasti sama ada jenis senaman terapeutik yang berbeza akan menghasilkan perubahan dalam perkembangan skoliosis, kualiti hidup, dan isu kosmetik.
Tiada kajian yang dimasukkan menilai kesan yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti?
Peserta yang terlibat dalam kajian mengetahui intervensi mana yang mereka terima; oleh itu, mereka mungkin dipengaruhi oleh kepercayaan yang mereka miliki terhadap intervensi ketika melaporkan penambahbaikan berdasarkan pengalaman peribadi mereka, dan melakukan senaman dengan meningkatkan motivasi mereka.
Semua kajian menyertakan hanya beberapa orang peserta. Oleh itu, kami kurang yakin terhadap keputusan kajian mereka, kerana ia mungkin berbeza apabila intervensi dilaksanakan dalam amalan klinikal.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskinikan ulasan kami yang terdahulu dari 2012. Bukti adalah terkini sehingga 17 November 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).