Akupunktur untuk senggugut

Soalan ulasan

Penyelidik Cochrane menyemak bukti tentang kesan akupunktur dan akupresur berbanding rawatan kawalan untuk mengurangkan kesakitan dan simptom semasa haid di kalangan wanita dalam lingkungan usia subur (reproduktif) yang mempunyai dismenorea primer. Dismenorea primer didefinisikan sebagai kesakitan tanpa sebarang punca penyakit.

Latar belakang

Dismenorea, juga dikenali sebagai sakit semasa haid atau senggugut, lebih kerap dialami oleh wanita muda. Simptom termasuk kekejangan di bahagian bawah perut yang merebak ke bahagian bawah belakang atau bahagian hadapan paha, loya, muntah, cirit-birit, sakit kepala, keletihan, kerunsingan dan pening. Penggunaan rawatan konvensional adalah tinggi, tetapi 20% hingga 25% wanita masih tidak mendapat kelegaan yang memuaskan. Oleh itu, pendekatan lain untuk menangani simptom senggugut dengan lebih berkesan adalah diperlukan. Akupunktur (ransangan poin-poin pada badan menggunakan jarum) atau akupresur (rangsangan poin-poin pada badan menggunakan tekanan) digunakan untuk merawat senggugut, namun sejauh mana keberkesanannya dalam mengurangkan kesakitan tersebut adalah tidak diketahui.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 42 kajian yang membandingkan akupunktur dan akupresur dengan rawatan kawalan (palsu/plasebo, ubat-ubatan, herba Cina, tanpa rawatan atau penjagaan biasa) di kalangan sejumlah 4640 wanita dalam lingkungan usia subur dengan senggugut. Dua puluh dua kajian telah dijalankan di China. Lapan kajian telah dijalankan di Iran, empat kajian di Taiwan, dua kajian di Korea, dan satu kajian masing-masing di Australia, Jerman, Hong Kong, Thailand, Turki, dan Amerika Syarikat. Bukti adalah terkini setakat September 2015.

Keputusan utama

Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan sama ada akupunktur atau akupresur adalah berkesan dalam merawat dismenorea primer dan untuk kebanyakan perbandingan, tidak terdapat maklumat mengenai kesan sampingan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah untuk semua perbandingan. Limitasi utama adalah risiko bias, pelaporan yang kurang baik, tidak konsisten dan risiko bias penerbitan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). ntuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information