Mesej utama
1. Oleh kerana bukti yang terhad, masih tidak jelas sama ada sebarang bahan atau saiz dawai arkus pertama lebih baik daripada yang lain.
2. Kajian-kajian yang besar dan terancang diperlukan. Kajian-kajian tersebut harus mengukur kelajuan penjajaran gigi dan kesan-kesan sampingannya.
Apakah alat pendakap ortodontik tetap?
Matlamat rawatan ortodontik adalah untuk membetulkan gigi yang sesak, herot, terbenam, atau jongang. Pesakit yang menerima rawatan ortodontik biasanya dalam kalangan remaja atau dewasa. Pendakap ortodontik tetap (aplians) terdiri daripada braket yang dilekatkan pada gigi dan disambungkan antara satu sama lain dengan dawai arkus, yang akan mengenakan daya tekanan kepada gigi untuk menjajarkan atau menggerakannya.
Apakah dawai arkus pertama?
Dawai arkus pertama (awal) dimasukkan ke dalam braket pada permulaan rawatan ortodontik. Sejak 1970-an, beberapa jenis dawai arkus pertama dibangunkan dan mempamerkan pelbagai sifat berbeza dalam makmal dan yang para-pengeluar mendakwa manfaat dari segi penjajaran gigi. Bahan-bahan baharu untuk dawai arkus awal termasuklah pelbagai sebatian logam (aloi) nikel dan titanium (NiTi).
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mencari jenis dawai arkus pertama yang terbaik untuk diguna oleh pakar ortodontik bagi membetulkan keadaan gigi yang sesak dan herot. Ulasan kami menilai sama ada pelbagai jenis (bahan, saiz atau bentuk) dawai arkus pertama menghasilkan perbezaan penting, termasuk penjajaran gigi yang lebih pantas (kelajuan penjajaran, diukur sebagai pergerakan gigi dalam tempoh masa) dan mengurangkan kesan sampingan (cth. sakit dan pemendekan akar gigi) semasa rawatan dengan pendakap.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan pelbagai jenis (bahan, saiz atau bentuk) dawai arkus pertama dalam kalangan orang yang menggunakan pendakap gigi atas atau gigi bawah, atau kedua-duanya. Kami bandingkan dan ringkaskan keputusan-keputusan, dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami mengenalpasti 29 kajian melibatkan 1915 peserta dengan 2581 dawai arkus pertama. Kajian terbesar mendaftarkan 200 orang dan kajian terkecil mendaftarkan 14 orang. Kajian-kajian tersebut berlangsung selama tiga hari sehingga enam bulan. Sebelas kajian mendapat pendanaan. Kajian-kajian berbeza dalam beberapa aspek rawatan ortodontik, membandingkan pelbagai bahan dan saiz dawai arkus pertama, dan melaporkan keputusan-keputusan pada titik masa yang berbeza.
Keputusan utama
1. Dawai arkus keluli nirkarat berbilang helai (multistrand) berbanding dawai pelbagai bahan (6 kajian): kami tidak tahu jika dawai keluli nirkarat berbilang helai adalah lebih baik daripada dawai yang diperbuat daripada bahan lain dari segi kelajuan penjajaran gigi. Mungkin terdapat sedikit ataupun tiada perbezaan antara dawai keluli nirkarat berbilang helai dan dawai lain dari segi kesakitan.
2. Dawai NiTi konvensional berbanding dawai NiTi super elastik (4 kajian): mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua jenis dawai dari segi kesan kelajuan penjajaran gigi dan kesakitan.
3. Dawai NiTi konvensional berbanding dawai tembaga-nikel-titanium termoelastik (3 kajian): kita tidak tahu jika terdapat sebarang perbezaan antara kedua-dua jenis dawai arkus dari segi kelajuan penjajaran.
4. Dawai NiTi super elastik berbanding dawai NiTi termoelastk (12 kajian): mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara dawai NiTi superelastik dan dawai NiTi termoelastik dari segi kelajuan penjajaran. Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan antara kedua-dua jenis dawai dari segi pemendekan akar gigi. Dawai NiTi super elastik berbanding dawai NiTi termoelastik mungkin mengambil masa lebih lama untuk menjajarkan gigi dan mungkin menyebabkan lebih sakit.
5. NiTi superelastik selembar berbanding NiTi superelastik sepaksi (3 kajian): dalam tempoh empat minggu pertama selepas pemasangan dawa arkus, kelajuan penjajaran mungkin lebih perlahan untuk dawai NiTi super elastik selembar berbanding dawai NiTi super elastik sepaksi.
6. Pelbagai saiz dawai NiTi (2 kajian): mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara pelbagai saiz dawai NiTi dari segi kesakitan.
Apakah batasan bukti?
Kami berkeyakinan terhad terhadap bukti kerana keputusan daripada kajian-kajian adalah berbeza secara meluas, dan kebanyakan kajian menyertakan kurang peserta. Sesetengah kajian tidak melaporkan secara jelas kaedah kajian, atau sama ada peserta yang mengambil bahagian dalam kajian mengetahui jenis dawai arkus yang diterima, yang mungkin mempengaruhi keputusan kajian.
Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 4 Julai 2022. Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2010 dan terakhir dikemaskini pada 2018.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).