Adakah preskripsi sokongan pemakanan rendah kalori (hipokalori) meningkatkan pemulihan pesakit dewasa yang sakit kritikal?

Soalan ulasan

Adakah nutrisi rendah kalori yang disalurkan ke perut atau usus kecil (enteral), atau ke vena (parenteral) meningkatkan dapatan klinikal dalam kalangan dewasa sakit kritikal di unit rawatan rapi (ICU), apabila dibandingkan dengan sokongan pemakanan kalori standard?

Dapatan utama adalah kematian (di hospital, di ICU dan pada 30 hari); tempoh penginapan ICU dan hospital; komplikasi jangkitan dan tempoh bantuan pernafasan mekanikal (mesin yang digunakan di ICU untuk membantu seseorang bernafas).

Latar belakang

Orang yang sakit kritikal mengalami perubahan metabolik (siri perubahan bahan kimia ke bahan kimia yang lain) semasa kecederaan atau sepsis (keadaan yang mengancam nyawa di mana tindak balas badan terhadap jangkitan menyebabkan kecederaan kepada organ sendiri). Mereka menerima sokongan pemakanan untuk mencegah atau mengurangkankan beberapa kesan buruk. Walau bagaimanapun, kedua-dua makan berlebihan dan kebuluran boleh membahayakan.

Buat masa ini tidak ada ketetapan tentang jumlah kalori yang harus berikan kepada pesakit kritikal. Pemakanan kalori biasa memberikan anggaran keperluan kalori. Pemakanan hipokalori memberikan jumlah kalori yang lebih rendah.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan 15 kajian dengan 3129 peserta pembedahan atau perubatan ICU dari hospital pengajar. Empat kajian mengunakan nutrisi parenteral dan sembilan kajian menggunakan pemakanan enteral sahaja. Hasil dapatan ini tidak jelas dalam dua kajian yang lain. Walaupun kajian merancang untuk memberi jumlah kalori yang berbeza dalam kumpulan eksperimen dan kawalan, perbezaan sebenar kalori adalah kecil. Kebanyakan kajian dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat atau persatuan bukan kerajaan, tetapi tiga kajian telah menerima pembiayaan daripada perusahaan. Lima kajian tidak menyatakan cara mereka dibiaya .

Keputusan utama

Perbezaan dalam jenis pemakanan dan jenis peserta di seluruh kajian tidak membenarkan kami untuk menggabungkan hasil kajian, maka kami menghuraikan pelbagai keputusan pada setiap kajian.

Bilangan kematian di hospital, di ICU dan pada 30 hari di mana mereka yang menerima nutrisi rendah kalori adalah sama seperti di dalam kumpulan kawalan. Tempoh masa di hospital dan ICU dan ventilasi mekanikal berbeza-beza merentasi kajian, kadangkala lebih pendek dan kadangkala lebih lama berbanding kumpulan kawalan. Bilangan jangkitan juga berbeza-beza merentasi kajian. Kami cuba menganalisis subkumpulan peserta untuk menjelaskan perubahan ini, tetapi hasilnya tidak konsisten.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti bagi setiap hasil mengikut klasifikasi GRADE adalah sangat rendah kepada rendah. Ini disebabkan oleh masalah rekabentuk perjalanan kajian, perubahan dalam keputusan kajian (ketidakselarasan antara kajian) dan pelbagai keputusan yang mungkin (ketidaktepatan).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane#rcsiucd.edu.my

Tools
Information