Salutan kateter vena pusat dengan antiseptik atau antibiotik untuk mengurangkan jangkitan berkaitan kateter pada orang dewasa

Latar belakang

Salutan kateter vena pusat (CVC) ialah peranti penting untuk memberi cecair, ubat-ubatan, nutrisi intravena dan rawatan kanser kepada pesakit. Berbanding dengan kateter periferi (iaitu tiub yang dimasukkan melalui vena pada anggota badan yang direka untuk kegunaan jangka pendek), CVC lebih panjang dan mencapai lebih dalam ke dalam vena utama badan, memberikan akses intravena yang lebih selamat dan tahan lama. Walau bagaimanapun, jangkitan, terutamanya aliran darah, adalah perkara biasa pada pesakit dengan CVC. Kadangkala jangkitan ini membawa maut. Beberapa langkah telah dihasilkan untuk mengurangkan jangkitan tersebut, termasuk salutan atau impregnasi CVC dengan antiseptik atau antibiotik. Walaupun teknologi baharu ini memberi harapan, tetapi masih tidak jelas sama ada ia memberikan perlindungan yang berkesan untuk tempoh yang cukup lama terhadap pelbagai jenis bakteria yang mungkin menyesuaikan diri dengan mana-mana strategi yang direka untuk mengatasinya. Tambahan pula, faedah kateter yang diubah suai ini dalam tetapan berbeza, contohnya unit rawatan rapi (ICU), wad standard dan unit kanser, juga memerlukan penilaian berterusan. Terdapat banyak garis panduan klinikal mengesyorkan penggunaan CVC yang diimpregnasi antimikrob, walaupun kajian mendedahkan hasil yang bercanggah.

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti tentang keberkesanan dan keselamatan kateter vena pusat (CVC) yang diimpregnasi antimikrob pada jangkitan aliran darah dan kematian pada orang dewasa yang memerlukan CVC, dan menemui 57 kajian yang berkaitan.

Tarikh carian

Dalam kemas kini ini, kami menyertakan bukti terkini hingga Mac 2015, mengemas kini versi semakan sebelumnya yang terkini hingga Mac 2012.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 57 kajian dengan 16,784 kateter dan 11 jenis impregnasi antimikrob. Jumlah peserta adalah tidak jelas kerana beberapa kajian tidak memberikan maklumat ini, dan sesetengah peserta mungkin mempunyai lebih daripada satu CVC semasa rawatan mereka. Para peserta kebanyakannya adalah orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di ICU, unit kanser atau tetapan penjagaan kesihatan lain di mana CVC digunakan untuk rawatan intravena atau nutrisi. Semua kajian telah selesai apabila peserta meninggalkan unit atau hospital, dan tiada kajian susulan peserta dalam jangka panjang.

Sumber pembiayaan

Dua puluh enam daripada 57 kajian telah dibiayai sepenuhnya atau sebahagiannya oleh pengeluar atau pengedar kateter, dua kajian dibiayai kerajaan, dan dua tidak menerima pembiayaan. Sumber pembiayaan tidak dinyatakan dalam baki 27 kajian.

Keputusan utama

Berbanding dengan peserta yang diberi kateter yang tidak diimpregnasi, peserta dengan kateter yang diimpregnasi mempunyai kadar jangkitan aliran darah 2% lebih rendah yang pastinya berkaitan dengan kateter (CRBSI) (purata pengurangan mutlak CRBSI: 2%). Terdapat juga peluang 9% lebih rendah untuk mencari bakteria pada kateter yang diimpregnasi (kolonisasi kateter) (purata pengurangan mutlak dalam kolonisasi kateter: 9%). Walau bagaimanapun, faedah kateter ini dalam mengurangkan kolonisasi kateter berbeza-beza mengikut tetapan kajian, dengan faedah ketara hanya diperhatikan dalam kajian yang dijalankan di ICU. Tiada perbezaan klinikal yang signifikan dalam kadar keseluruhan jangkitan aliran darah (sepsis yang didiagnosis secara klinikal) atau dalam kematian, walaupun hasil ini dinilai dalam kajian yang lebih sedikit daripada CRBSI dan kolonisasi kateter. Kateter yang diimpregnasi kelihatan tidak lebih berkemungkinan daripada kateter yang tidak diimpregnasi untuk menyebabkan kesan buruk seperti pendarahan, pembekuan, kesakitan atau kemerahan di tempat pemasukan.

Kualiti bukti

Jumlah maklumat dalam ulasan ini menyumbang kepada bukti berkualiti tinggi untuk hasil utama CRBSI, kematian semua sebab dan kesan buruk. Walau bagaimanapun, untuk sepsis yang didiagnosis secara klinikal, kami menilai kualiti bukti adalah sederhana, kerana kami mengesyaki bahawa terdapat penerbitan terpilih bagi kajian tertentu. Kami menganggap kualiti bukti adalah sederhana untuk kolonisasi kateter juga, disebabkan oleh ketidakkonsistenan utama dalam arah keputusan di kalangan kajian yang disertakan.

Kesimpulan pengarang

Walaupun kateter yang diimpregnasi berkesan dalam mengurangkan CRBSI dan kolonisasi kateter, terutamanya di ICU, ia mungkin tidak berkesan merentasi semua tetapan. Tambahan pula, ulasan kami menunjukkan bahawa kateter yang diimpregnasi ini nampaknya tidak mengurangkan semua jangkitan aliran darah dan bilangan kematian. Percanggahan antara penemuan untuk CRBSI, kolonisasi kateter dan jangkitan aliran darah keseluruhan mungkin berkaitan dengan batasan kateter dan kultur darah yang digunakan dalam kebanyakan kajian untuk mengesan jangkitan berkaitan kateter. Penyelidikan masa depan harus memasukkan jangkitan aliran darah keseluruhan dan kematian sebagai hasil utama, serta memasukkan beberapa kaedah lanjutan untuk mengesan mikroorganisma pada kateter dan dalam aliran darah untuk menilai kehadiran jangkitan berkaitan kateter dengan lebih tepat.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information