Tusukan lumbar melibatkan pengambilan sampel cecair tulang belakang dengan jarum dicucuk di bahagian belakang. Sakit kepala selepas tusukan dural (PDPH) adalah kesan sampingan yang paling biasa dari tusukan lumbar. Gejala PDPH adalah sakit kepala berterusan yang semakin teruk apabila dalam posisi tegak dan bertambah baik ketika berbaring. Banyak ubat yang digunakan untuk merawat PDPH, oleh itu tujuan ulasan ini adalah untuk menilai keberkesanan ubat-ubatan tersebut.
Ini adalah ulasan yang dikemas kini dan kami telah mencari kajian baru pada Julai 2014. Kami memasukkan 13 kajian rawak terkawal (RCT) yang kecil, dengan sejumlah 479 peserta. Kajian-kajian tersebut telah menilai lapan ubat: kafein, sumatriptan, gabapentin, hidrokortison, teofilin, hormon adrenokortikotropik, pregabalin dan cosyntropin. Kafein terbukti berkesan dalam mengurangkan jumlah orang dengan PDPH dan mereka yang memerlukan ubat tambahan (2 atau 3 dalam 10 dengan kafein berbanding 9 dalam 10 dengan plasebo). Gabapentin, teofilin dan hidrokortison juga terbukti berkesan, menghilangkan kesakitan dengan lebih baik berbanding plasebo atau rawatan konvensional sahaja. Lebih ramai orang dapat melegakan kesakitan dengan teofilin (9 dalam 10 dengan teofilin berbanding dengan 4 dalam 10 dengan rawatan konvensional). Tidak ada kesan sampingan penting dari ubat-ubatan ini yang dilaporkan.
Kualiti kajian-kajian tersebut adalah sukar dinilai kerana kekurangan maklumat. Hasil harus ditafsirkan dengan berhati-hati.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.