Kami ingin menentukan dari kajian rawak terkawal jika pembersihan vagina dengan larutan antiseptik sebelum kelahiran cesarean mengurangkan risiko jangkitan maternal dengan selamat.
Apakah isunya?
Pembersihan vagina sebelum kelahiran cesarean dapat mengurangkan bilangan bakteria yang semula jadi ada di dalam vagina. Bakteria ini di dalam vagina dan serviks boleh bergerak naik ke rahim semasa prosedur pembedahan dan menyebabkan jangkitan pada lapisan rahim dan luka pembedahan. Antibiotik rutin diberi sebelum pembedahan untuk mengurangkan risiko jangkitan, tetapi sesetengah wanita masih menderita dari komplikasi-komplikasi ini. Sesetengah antibiotik tidak selalu membasmi semua bakteria dan bakteria resistan mungkin hadir. Persediaan vagina mungkin tidak termasuk dalam penjagaan bagi wanita untuk mengurangkan jangkitan setelah pembedahan. Larutan pembersihan vagina, seperti klorheksidin dan iodin povidone tidaklah mahal, dan sangat kurang kesan sampingan.
Mengapakah ini penting?
Kelahiran cesarean adalah lazim, dengan hampir satu dalam tiga bayi dilahirkan secara cesarean di sesetengah negara seperti AS. Wanita yang melahirkan secara cesarean sering mengalami jangkitan uterus (endometritis) atau masalah dengan insisi kulit mereka. Risiko jangkitan lebih tinggi jika air ketuban wanita telah pecah atau wanita telah mengalami pelahiran sebelum pembedahan cesarean. Komplikasi-komplikasi ini mungkin melambatkan pemulihan wanita selepas pembedahan dan boleh mempengaruhi keupayaannya untuk menjaga bayi. Ini adalah Ulasan Cochrane yang pertama diterbitkan pada 2010 dan dikemas kini pada 2012, 2014 dan 2017.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mencari bukti baru hingga 7 Julai 2019. Dalam kemas kini ini, kami telah memasukkan 21 kajian rawak terkawal, melibatkan sejumlah 7038 wanita yang melalui pembedahan cesarean. Kajian berlangsung di 10 negara (Arab Saudi, Pakistan, Iran, Thailand, Turki, Amerika Syarikat, Mesir, UK, Kenya dan India). Kumpulan kawalan tidak mempunyai persediaan vagina dalam 18 kajian dan dalam tiga kajian peserta menggunakan salina untuk persediaan vagina. Kami tidak menyertakan kajian yang tidak memberi antibiotik sebelum atau semasa pembedahan, atau di mana wanita menerima persediaan vagina semasa pelahiran. Tujuh belas kajian menggunakan iodin povidone untuk pembersihan vagina, tiga menggunakan klorheksidin, dan satu menggunakan benzalkonium chloride.
Membersihkan faraj dengan larutan antiseptik sejurus sebelum kelahiran cesarean mungkin mengurangkan insiden jangkitan rahim pasca-cesarean ( 20 kajian, 6918 wanita; bukti kepastian sederhana). Pengurangan ini dilihat bagi kedua-dua larutan berasaskan iodin dan berasaskan klorheksidin. Risiko demam pascabedah (16 kajian, 6163 wanita) dan jangkitan luka pascabedah (18 kajian, 6385 wanita) juga mungkin dikurangkan dengan pembersihan vagina; kedua-dua bukti kepastian sederhana). Risiko komplikasi luka atau jangkitan rahim mungkin lebih rendah dalam kalangan wanita yang menerima pembersihan vagina prabedah dengan larutan antiseptik (2 kajian, 499 wanita). Tiada kajian yang melaporkan peristiwa buruk, seperti reaksi alergi terhadap larutan pembersihan atau kerengsaan.
Analisis lanjut mencadangkan kesan yang lebih besar bagi wanita dalam pelahiran berbanding yang tidak dalam pelahiran bagi empat daripada lima hasil yang dinilai (jangkitan rahim pasca-cesarean; demam pascabedah; jangkitan luka pascabedah; komplikasi luka atau jangkitan rahim) tetapi perbezaan ini perlu kajian lanjutan di masa depan. Kami tidak melihat perbezaan antara kumpulan wanita dengan ruptur membran dan wanita dengan membran utuh.
Apakah maksudnya?
Membersihkan vagina dengan larutan iodin povidone atau klorheksdin (berbanding salina atau tiada pembersihan) sejurus sebelum kelahiran caesarean mungkin mengurangkan risiko jangkitan rahim, demam, dan jangkitan pada luka pembedahan. Analisis lanjut mendapati manfaat ini adalah tipikal sama ada larutan berasaskan iodin atau klorheksidin digunakan dan semasa wanita dalam pelahiran sebelum pembedahan cesarean.
Persediaan vagina adalah mudah dan diterima baik untuk mengurangkan peluang mengalami jangkitan selepas melahirkan bayi secara cesarean.
Diterjemah oleh Noor Salwah Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my