Terapi sejuk selepas pembedahan penggantian keseluruhan lutut

Apakah faedah dan risiko terapi sejuk selepas penggantian keseluruhan lutut?

Mesej utama

Berbanding dengan plasebo, terapi sejuk boleh menambahbaik kehilangan darah, kesakitan, julat pergerakan lutut dan bengkak jangka pendek selepas penggantian keseluruhan lutut (TKR). Kami kurang pasti kesannya terhadap pemindahan darah, fungsi lutut, melegakan kesakitan, tempoh tinggal di hospital, kualiti hidup atau tahap aktiviti. Walaupun bukti adalah terhad, terdapat sedikit kebimbangan untuk kejadian buruk yang serius dengan terapi sejuk.

Apakah osteoarthritis, dan bagaimana ia dirawat?

Osteoartritis adalah penyakit degeneratif sendi, seperti lutut. Osteoartritis lutut boleh menyebabkan kesakitan, mengehadkan fungsi dan memburukkan kualiti hidup. TKR boleh membantu keadaan ini dalam jangka panjang, tetapi kesan pembedahan semasa tempoh pemulihan (sehingga 6 bulan selepas pembedahan) boleh menyebabkan orang menjadi lemah dan terjejas. Terapi sejuk (cryotherapy) melibatkan penggunaan suhu rendah pada kulit di sekeliling kecederaan atau tapak pembedahan. Ini boleh dilakukan melalui penggunaan beg ais atau peranti khusus yang menghantar air sejuk ke kawasan tersebut.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada cryotherapy mempunyai kesan terhadap kehilangan darah, kesakitan dan fungsi lutut dalam masa 48 jam selepas TKR.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat cryotherapy berbanding plasebo pada orang selepas TKR. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami memasukkan 22 kajian di mana orang yang mengalami rawatan TKR dan menerima sebarang bentuk terapi sejuk (dengan atau tanpa rawatan lain) dibandingkan dengan mereka yang tidak menerima sebarang terapi sejuk. Terdapat seramai 1839 orang, berumur antara 64 dan 74 tahun. Hasil yang diminati adalah dalam fasa akut (dalam tempoh 48 jam selepas pembedahan), tetapi beberapa kajian memasukkan sehingga 12 minggu susulan.

Keputusan utama

Kehilangan darah

Kehilangan darah adalah 264 mL kurang dengan cryotherapy sehingga 13 hari selepas pembedahan.

• Orang kehilangan 561 mL darah dengan cryotherapy.

• Orang kehilangan 825 mL darah tanpa cryotherapy.

Kesakitan (skor lebih rendah bermakna kurang sakit)

Kesakitan menjadi lebih baik sebanyak 1.6 mata pada skala 0 hingga 10 mata dengan cryotherapy pada 2 hari selepas pembedahan.

• Orang yang menjalani cryotherapy menilai kesakitan mereka sebagai 3.2 mata.

• Orang yang tidak menjalani cryotherapy menilai kesakitan mereka sebagai 4.8 mata.

Pemindahan darah

Lebih 42% orang menjalani pemindahan darah dengan cryotherapy, atau lebih 42 daripada 100 orang, sehingga 13 hari selepas pembedahan.

• 79 daripada 100 orang telah menjalani transfusi dengan cryotherapy.

• 37 daripada 100 orang telah menjalani transfusi tanpa cryotherapy.

Julat pergerakan lutut

Fleksi (membengkokkan sendi lutut) adalah 8.3 darjah lebih tinggi dengan cryotherapy apabila orang meninggalkan hospital.

• Orang yang menjalani cryotherapy mempunyai 71.2 darjah fleksi.

• Orang yang tidak menjalani cryotherapy mempunyai 62.9 darjah fleksi.

Fungsi lutut

Fungsi lutut adalah 13.2 mata lebih baik pada skala 0- hingga 100 mata dengan cryotherapy pada 2 minggu selepas pembedahan.

• Orang yang menjalani cryotherapy mempunyai skor fungsi 88.6.

• Orang yang tidak menjalani cryotherapy mempunyai skor fungsi 75.4

Jumlah kejadian buruk

Lebih 0% orang melaporkan kejadian buruk dengan cryotherapy, atau lebih 0 daripada 100, sehingga 30 hari selepas pembedahan.

• 2.7 daripada 100 orang melaporkan kejadian buruk dengan cryotherapy.

• 2.1 daripada 100 orang melaporkan kejadian buruk tanpa menjalani cryotherapy.

Menarik diri akibat kejadian buruk

Lebih 0% orang menarik diri daripada kajian disebabkan oleh kejadian buruk dengan cryotherapy, atau lebih 0 daripada 100, sehingga 30 hari selepas pembedahan.

• 0.4 daripada 100 orang menarik diri kerana kejadian buruk dengan menjalani cryotherapy.

• 0.2 daripada 100 orang menarik diri kerana kejadian buruk tanpa menjalani cryotherapy.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti yang menunjukkan bahawa terapi sejuk mungkin sedikit menambahbaik kehilangan darah, kesakitan dan julat pergerakan selepas pembedahan. Kami tidak pasti sama ada ia mengurangkan risiko pemindahan darah, menambahbaik fungsi lutut, meningkatkan risiko kejadian buruk atau menyumbang kepada penarikan diri akibat kejadian buruk. Faktor yang mengurangkan keyakinan kami termasuk kelemahan dalam reka bentuk kajian (peserta tidak diberikan rawatan secara rawak; sesetengah peserta keluar daripada kajian; peserta tahu rawatan yang mereka terima), tidak mempunyai kajian atau peserta yang mencukupi untuk memastikan keputusannya, dan variasi keputusan dan kaedah antara kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 27 Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information