Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan yang menghalang pembentukan saluran darah baharu (angiogenesis) meningkatkan hasil untuk wanita yang menghidap kanser ovari epitelium (epithelial ovarian cancer, EOC).
Kanser ovari adalah kanser kelapan paling biasa di kalangan wanita (dan wanita lain) di seluruh dunia, dengan kadar kematian tahunan sebanyak 4.2 bagi setiap 100,000 wanita. EOC berasal dari lapisan permukaan ovari atau tiub fallopio dan mewakili 90% daripada semua kanser ovari.
Rawatan EOC melibatkan pembedahan untuk membuang endapan kanser dan kemoterapi berasaskan platinum (ubat yang membunuh sel yang cepat membesar). Tetapi, walaupun tindak balas awal yang baik, ramai yang mempunyai penyakit lanjut akhirnya memerlukan rawatan selanjutnya.
Kanser memerlukan saluran darah baru untuk membekalkan oksigen dan nutrien untuk pertumbuhan; menghalang angiogenesis boleh melambatkan atau menghentikan pertumbuhan kanser. Angiogenesis boleh disekat sama ada dengan menyekat hormon angiogenesis (dipanggil VEGF) dengan antibodi monoklonal (antibodi yang mengenali sasaran tunggal) atau dengan mengganggu tindak balas sel terhadap VEGF yang mengikat dengan reseptornya (VEGF-R), dengan menghalang enzim (tirosin kinase (TK)) yang dikaitkan dengan VEGF-R (tirosin kinase inhibitor (TKI)).
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mengumpul dan menganalisis semua kajian berkaitan wanita dengan EOC. Kajian membandingkan perencat angiogenesis dengan atau tanpa kemoterapi konvensional, atau agen biologi yang berbeza terhadap rawatan dengan plasebo (ubat tiruan), tiada rawatan atau agen biologi yang berbeza. Kami telah menyiasat sama ada ubat-ubatan ini meningkatkan tempoh hidup wanita dengan EOC selepas rawatan (keseluruhan kelangsungan hidup (overall survival, OS)), sama ada ubat melambatkan pertumbuhan semula penyakit (kemandirian tanpa perkembangan (progression-free survival, PFS)), apakah kemudaratannya (peristiwa buruk) dan sama ada ia memberi kesan kepada kualiti hidup. Sejauh mana EOC bertindak balas terhadap kemoterapi berikutnya bergantung pada rawatan kemoterapi sebelumnya dan masa dari kemoterapi berasaskan platinum terakhir, jadi kami telah menganalisis keputusan sama ada seseorang menghidapi EOC yang baru atau EOC berulang, serta sensitiviti platinum.
Apakah yang kami dapati?
Kami telah menjumpai 50 kajian yang melibatkan sebanyak 14,836 wanita.
Keputusan utama
EOC yang baru didiagnosis
Rawatan antibodi monoklonal (dipanggil bevacizumab atau Avastin) diberikan dengan kemoterapi, dan diteruskan sebagai penyelenggaraan, mungkin mempunyai sedikit kesan ke atas kelangsungan hidup berikutan diagnosis awal EOC. Kepastian bukti dalam melambatkan perkembangan adalah sangat rendah. Rawatan meningkatkan kesan-kesan sampingan yang serius dan sedikit mengurangkan kualiti hidup.
TKI diberikan dengan kemoterapi dan diteruskan sebagai penyelenggaraan, mungkin mempunyai sedikit kesan ke atas kelangsungan hidup berikutan diagnosis awal EOC, tetapi mungkin melambatkan perkembangan penyakit. Rawatan menyebabkan sedikit pengurangan dalam kualiti hidup, dan sedikit peningkatan dalam risiko kesan sampingan yang serius, dengan peningkatan besar dalam risiko memerlukan rawatan untuk tekanan darah tinggi (hipertensi).
EOC berulang (sensitif platinum; berulang lebih setahun selepas kemoterapi platinum terakhir)
Bagi wanita dengan EOC berulang yang sensitif terhadap platinum, bevacizumab diberikan bersama kemoterapi dan diteruskan kerana penyelenggaraan mungkin mempunyai sedikit kesan ke atas kelangsungan hidup, tetapi mungkin melambatkan perkembangan. Mungkin terdapat sedikit kesan terhadap kualiti hidup, tetapi rawatan meningkatkan sedikit risiko kesan sampingan yang serius. Semua kajian mendapati bahawa rawatan meningkatkan kadar tekanan darah tinggi.
Dalam kumpulan wanita yang sama ini, TKI diberikan dengan kemoterapi dan diteruskan sebagai penyelenggaraan mungkin mempunyai sedikit kesan ke atas kelangsungan hidup selepas kambuh, berkemungkinan melambatkan perkembangan, dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kualiti hidup. Kami tidak dapat menganggarkan kesan ke atas kesan sampingan yang serius secara keseluruhan, walaupun darah tinggi serius adalah lebih biasa dengan rawatan.
EOC berulang (tahan platinum; berulang dalam tempoh enam bulan kemoterapi platinum terakhir)
Bagi wanita dengan EOC berulang kalis platinum, bevacizumab meningkatkan kemandirian dan mungkin banyak melewatkan perkembangan penyakit. Walau bagaimanapun, rawatan menpunyai risiko darah tinggi yang ketara dan boleh meningkatkan risiko penembusan usus. Kesan sampingan serius lain dilaporkan secara tidak konsisten, begitu juga dengan hasil kualiti hidup.
Penambahan TKI kepada kemoterapi dalam kumpulan ini mungkin tidak menjejaskan kemandirian, tetapi mungkin melambatkan perkembangan, dengan sedikit perbezaan yang bermakna dalam kualiti hidup. Walau bagaimanapun, TKI meningkatkan sedikit risiko kesan sampingan yang serius. Kepastian kesan rawatan terhadap kadar perforasi usus dan darah tinggi adalah sangat rendah, sebahagian besarnya disebabkan oleh kajian kecil dan ubat TKI yang berbeza digunakan dalam kajian yang berbeza.
Apakah batasan bukti?
Ini adalah bidang yang bergerak pantas dan bukti mungkin berubah dengan kajian lanjut dan kajian susulan yang lebih lama.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu dan menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 2011 Disember 2022.
Mesej utama
Kanser ovari epitelium (EOC) yang baru didiagnosis
Kepastian kesan rawatan anti-angiogenesis bevacizumab dan TKI pada wanita dengan EOC yang baru didiagnosis adalah rendah.
Rawatan ini mungkin mempunyai kesan yang minimum pada berapa lama wanita bertahan atau pertumbuhan semula penyakit (perkembangan), dengan penurunan kualiti hidup dan peningkatan kesan sampingan yang serius.
EOC sensitif platinum
Bevacizumab dan TKI mungkin melambatkan perkembangan, tetapi mungkin atau mungkin tidak meningkatkan jangka hayat wanita.
EOC kalis platinum
Bevacizumab mungkin meningkatkan tempoh hidup wanita dan mungkin boleh melambatkan perkembangan dengan kadar yang besar.
Bevacizumab dan TKI mungkin melambatkan perkembangan, tetapi mungkin atau mungkin tidak meningkatkan jangka hayat wanita.
Nampaknya terdapat peranan untuk rawatan anti-angiogenesis, tetapi beban rawatan tambahan dan kos kewangan rawatan penyelenggaraan rawatan anti-angiogenesis harus dipertimbangkan dengan teliti.
Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my