Asid folik adalah satu bentuk folat sintetik yang diguna sebagai tambahan dan makanan ruji yang diperkuat (seperti gandum dan tepung jagung) untuk mengurangkan kejadian tiub neural cacat (NTDs). Ini termasuklah spina bifida (atau rekah spina), di mana terdapat pembukaan dalam satu atau lebih tulang (vertebrae) belakang dan anensefali di mana hujung kepala (sefalik) tiub neural gagal untuk bercantum, Penamebahan asid folik disyorkan secara antarabangsa kepada wanita dari saat mereka cuba untuk hamil hingga 12 minggu kehamilan. Satu lagi pilihan yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah wanita dalam usia reproduktif mengambil zat besi berjeda (mingguan) dan penambahan asid folik, terutamanya dalam populasi di mana prevalen anemia melebihi 20%. Penambahan mungkin mengurangkan cacat lahir yang lain seperti rekahan bibir dengan atau tanpa rekahan lelangit dan kecacatan kardiovaskular kongenital. Kebelakangan ini, 5-methyl-tetrahydrofolate (5-MTHF) telah diusulkan sebagai alternatif kepada penambahan asid folik. Ini adalah kerana kebanyakan diet folat dan asid folik dimetabolisme kepada 5-MTHF. Sesetengah wanita menpunyai ciri-ciri gen yang mengurangkan kepekatan folat dalam darah.
Ulasan ini mengesahkan penambahan asid folik mencegah kejadian NTDs kali pertama dan kedua dan menunjukkan tiada cukup bukti untuk menentukan jika asid folik mencegah cacat lahir lain. Maklumat tentang keselamatan skim penambahan semasa dan alternatif lain dan sebarang kemungkinan kesan kepada hasil lain bagi ibu dan bayi juga kurang. Ulasan lima kajian ini, melibatkan 7391 kehamilan (2033 dengan sejarah kehamilan yang dipengaruhi oleh NTD dan 5358 tanpa sejarah NTD), menunjukkan kesan perlindungan penambahan asid folik harian dalam dos antara 0.36 mg (360 μg) hingga 4 mg (4000 μg) sehari, dengan dan tanpa vitamin dan mineral lain, sebelum hamil dan sehingga 12 minggu kehamilan, untuk mencegah kecacatan berulang. Terdapat kekurangan data untuk menilai kesan ke atas hasil lain seperti rekahan bibir dan lelangit, keguguran atau sebarang cacat lahir lain. Lebih banyak penyelidikan diperlukan ke atas pelbagai program penambahan dan penggunaan pelbagai tambahan (misalnya 5-methyl-tetrahydrofolate -5-MTHF), khususnya di negara-negara di mana makanan ruji diperkuat dengan asid folik seperti gandum atau tepung jagung adalah tidak mandatori dan di mana prevalen NTD masih tinggi. Kualiti keseluruhan bukti bagi hasil neonatal adalah tinggi untuk NTD, sedangkan, ia adalah berkualiti rendah untuk hasil neonatal lain. Kualiti bukti keseluruhan untuk hasil maternal dinilai sebagai sederhana.
Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.