Penggunaan e-mel untuk komunikasi antara pesakit/penjaga dan profesional perubatan

E-mel digunakan dalam pelbagai sektor dan ramai orang menggunakannya dalam kehidupan seharian mereka. Walaupun e-mel boleh digunakan untuk komunikasi antara pesakit/penjaga dengan profesional perubatan, penggunaannya dalam sektor kesihatan masih belum meluas. Kajian ini meneliti bagaimana penggunaan e-mel sebagai cara komunikasi ini boleh memberi kesan kepada pesakit, profesional perubatan dan perkhidmatan kesihatan. Kami membuat pencarian kajian-kajian tentang penggunaan e-mel sebagai cara komunikasi antara pesakit/penjaga dengan profesional perubatan dan menjumpai sembilan kajian yang keseluruhannya melibatkan sejumlah 1733 peserta.

Lapan daripada kajian tersebut membandingkan e-mel dengan kaedah komunikasi konvensional. Jika e-mel dibandingkan dengan kaedah komunikasi konvensional, kami tidak dapat menentukan dengan tepat kesan penggunaan e-mel terhadap pesakit/penjaga, kerana terdapat data yang tidak lengkap dan perbezaan dapatan antara kajian-kajian tersebut. Kami juga mendapati hal yang sama bagi pengunaan perkhidmatan kesihatan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keputusan yang menunjukkan pengunaan e-mel untuk tujuan ini boleh membawa kepada peningkatan bilangan e-mel dan panggilan telefon yang diterima oleh profesional perubatan.

Satu daripada kajian tersebut membandingkan kaunseling melalui e-mel dengan kaunseling melalui telefon. Kami mendapati bahawa kajian ini hanya menilai kesan terhadap pesakit dan terdapat beberapa perbezaan antara kumpulan tersebut. Perbezaan ini menunjukkan bahawa kaunseling melalui telefon membawa kepada perubahan yang lebih besar kepada gaya hidup berbanding kaunseling melalui e-mel.

Tiada kajian meneliti bagaimana e-mel memberi kesan kepada profesional perubatan dan hanya satu kajian menilai sama ada e-mel boleh mendatangkan bahaya. Kesemua kajian tersebut didapati mempunyai bias dalam beberapa perkara dan apabila kami menilai kualiti kesemua dapatan kajian, kami mendapati dapatan tersebut berkualiti rendah atau sangat rendah. Oleh itu, dapatan kajian ini perlu dinilai dengan berhati-hati.

Oleh kerana kualiti dapatan yang rendah, kami tidak dapat membuat sebarang cadangan berhubung penggunaan e-mel dalam konteks amalan klinikal. Kajian pada masa hadapan perlu mengambil kira perubahan teknologi yang pantas, dan menilai kos untuk memperkenalkan penggunaan e-mel dan kesannya terhadap penggunaan sumber sektor kesihatan. Laporan penyelidikan perlu menyatakan dengan jelas kaedah yang digunakan dan hasil penemuan mereka. Penyelidik yang berminat untuk menjalankan penyelidikan dalam perkara ini perlu dibantu dalam membangunkan idea dan melaksanakannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syafiqa M Saleh. Disunting oleh Wan Nor Arifin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi syafiqa.saleh@gmail.com.

Tools
Information